Isu KSNP: Selangor Hanya Terima Kertas Cadangan Tambah Baik Infrastruktur

<
strong>Oleh Nur khalidah Abdul Halim

SHAH ALAM (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor memaklumkan pihaknya hanya menerima kertas cadangan untuk menambah baik dan mencantikkan lagi infrastruktur serta kemudahan yang terdapat di Taman Alam Kuala Selangor (KSNP).

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata walaupun cadangan menambah baik kawasan taman itu dibiayai oleh pihak pelabur, namun beliau berkata pihaknya meletakkan syarat bahawa segala proses mencantikkan taman tersebut tidak boleh mengganggu ekosistem semula jadi yang terdapat di KSNP.

“Kami sedia maklum KSNP adalah tempat lawatan. Apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan negeri adalah untuk menguruskan kemudahan awam yang terdapat di sekitar taman itu antaranya taman bunga, taman burung dan taman ikan yang sekarang ini tidak terurus dengan baik termasuk kemudahan awam yang terbiar,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar bagi Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) 2022 di sini, hari ini.

Amirudin berkata proses menambah baik taman itu juga hanya akan melibatkan beberapa lokaliti yang boleh dimasuki oleh orang awam yang berkunjung dan ia tidak akan dilakukan di kawasan hutan paya bakau kerana ia merupakan tempat untuk pengkaji melakukan kajian. 

Katanya lagi, segala proses untuk menambah baik taman tersebut juga masih dalam penelitian pihaknya kerana ia membabitkan pelbagai proses antaranya melibatkan kebenaran merancang dan kebenaran bangunan.

Amirudin berkata demikian bagi mengulas laporan Bernama 16 Jun yang memaklumkan hutan paya bakau di Kuala Selangor yang merupakan zon penampan semula jadi pesisiran pantai serta benteng tsunami, kini bukan sahaja diancam kemusnahan tetapi turut berisiko untuk lenyap ditelan kerakusan pembangunan di sekelilingnya. 

KSNP yang berkeluasan kira-kira 292 hektar dan terkenal sebagai lokasi transit burung migrasi menjadi sasaran seterusnya apabila ada pihak mengemukakan cadangan untuk meneroka dan membangunkan kawasan itu.

Terdahulu mengulas berhubung penyerahan baucar sumbangan korban kepada lebih 400 masjid dan surau, Amirudin berkata kerajaan negeri menerima sumbangan sebanyak 660 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing bernilai RM5.05 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi lain.  

Penulis
20 June 2022
Artikel berkaitan

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.