"Bekwoh" Tarikan Jelajah AKM di Kelantan

<
strong>Balkish Awang & Mohd Noor Iqram Rosli

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Program “Bekwoh Keluarga Malaysia” adalah antara keunikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang singgah di Kelantan bermula hari ini hingga Ahad.

Dijadualkan berlangsung esok (Sabtu) di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat, Kota Bharu, bekwoh atau kenduri besar-besaran merupakan aktiviti masyarakat setempat dengan peranan serampang dua mata - meraikan acara besar dan mengeratkan silaturahim - selaras dengan matlamat AKM yang mahu merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin.

Kemeriahan dapat dirasai apabila orang ramai berpusu-pusu ke pelbagai reruai kementerian dan agensi kerajaan sempena Jelajah AKM. . --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Menerusi Bekwoh Keluarga Malaysia, rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu berpeluang menikmati gulai kawah serta pelbagai hidangan tradisi Kelantan bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pemimpin lain yang dijangka bertandang ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan barisan pemimpin kerajaan negeri.

 

TRADISI UNIK KELANTAN

Pengarah Penerangan Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md. Nor

Bekwoh berasal daripada perkataan bahasa Inggeris “big work” yang dituturkan dalam loghat Kelantan, merupakan aktiviti gotong-royong ahli masyarakat dalam menyediakan hidangan kenduri, satu kegiatan yang sememangnya tidak asing bagi rakyat di negeri itu.

Menurut Pengarah Penerangan Kelantan Muhd Nor Aswadi Md Nor, aktiviti bekwoh akan bermula pada 7 pagi esok, membabitkan kira-kira 100 ahli masyarakat setempat yang akan menyediakan gulai kawah daging untuk meraikan kedatangan perdana menteri dan pemimpin lain.

"Esok, seawal pagi masyarakat kampung sekitar akan melakukan gotong-royong menyediakan pelbagai masakan istimewa termasuk hidangan gulai kawah yang disediakan oleh rakyat untuk pemimpin kerajaan persekutuan dan negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 Mengulas lanjut, Muhd Nor Aswadi berkata bekwoh dalam Jelajah AKM edisi Kelantan ini membawa pengertian tersendiri, iaitu selain merapatkan hubungan antara pemimpin tertinggi negara dan negeri dengan masyarakat, program juga bertujuan memberi nafas baharu kepada budaya yang semakin terhakis itu. 

Lebih 50,000 rakyat dijangka menghadiri Jelajah AKM yang berlangsung selama tiga hari di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV itu, ujarnya.

 

PELUANG SECARA DEKAT

Murid-murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, Jeli bergambar bersama penyelaras robotik mereka selepas mengadakan demonstrasi robotik berbentuk robot asut (anjing) di pentas utama Stadium Sultan Muhammad Ke-IV hari ini. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Siri Jelajah AKM di Kelantan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Keluarga Digital’ adalah penting kepada rakyat, khususnya bagi mereka yang mahu menyelesaikan pelbagai urusan dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

"Jika sebelum ini rakyat terpaksa pergi ke pejabat-pejabat kerajaan, tetapi (dalam Jelajah AKM) sekarang ini perkhidmatan kerajaan, membabitkan semua kementerian, turun padang dan memberi perkhidmatan mereka kepada rakyat.

"Di sini semua ketua agensi serta jabatan berada di reruai masing-masing untuk memberikan perkhidmatan. Ini  menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat," katanya.

Sehubungan itu katanya rakyat harus memanfaatkan sebaiknya peluang bersua muka dengan pemimpin untuk meluahkan permasalahan mereka secara langsung.

 

PELBAGAI PENGISIAN

Orang ramai mengambi peluang bergambar di depan poster jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia(AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Selain bekwoh, ada pelbagai lagi pengisian menarik, antaranya ‘Bicara Ulama Nusantara’ yang menghimpunkan ulama Malaysia dan Thailand di atas satu pentas.

Muhd Nor Aswadi berkata ulama terkenal dari Pattani, Thailand iaitu Baba Ghazali Ahmad Al-Fatani diundang sebagai ahli panel dalam program itu bagi mengupas topik perbincangan ‘Memperteguh Kesatuan Ummah’.

Program lain ialah persembahan kesenian RIUHxJAKM Kelantan, Karnival Digital K-KOMM@JAKM, ramah mesra bersama artis serta pertandingan Muay Thai antarabangsa. 

Di samping itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menyertai jelajah ini dengan program Jom Kenali BERNAMA.

Jom Kenali BERNAMA  bertujuan memperkenalkan Bernama sebagai sumber berita yang diyakini selain penyalur berita kepada media lain.

Ruang pameran 'Jom Kenali Bernama' turut berada pada Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Antara lain, program itu akan mempromosi Bernama secara lebih menyeluruh kepada masyarakat umum dan pihak berkepentingan dalam industri media, termasuk tentang peranan dan perkhidmatan yang ditawarkan, khususnya di negeri-negeri.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui Bernama di lokasi penganjuran, menyatakan keterujaan dapat berkunjung ke Jelajah AKM.

Nur Ain Abd Manaf, 27, yang berasal dari Kampung Repek, Pasir Mas, berkata pengguna harus mengambil kesempatan untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan yang dijual jauh lebih murah berbanding harga pasaran biasa.

"Jelajah AKM satu program yang sangat baik kerana banyak barangan dijual pada harga  murah dan berpatutan. Program sebegini dapat mendekatkan rakyat dengan kerajaan dan masyarakat dapat mengenali secara rapat agensi-agensi kerajaan selain mengetahui perkhidmatan yang ditawarkan," katanya yang bekerja sendiri.

Kanak-kanak juga turut serta dalam pelbagai aktiviti menarik disediakan sempena Jelajah AKM Kelantan. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Turut senada pekerja swasta Ahmad Faris Abd Halim, 35, dari Kota Jembal, Kota Bharu yang menghargai inisiatif kerajaan untuk memberikan pekerjaan kepada rakyat menerusi penganjuran karnival kerjaya. 

"Ada karnival kerjaya yang memberikan peluang pekerjaan di sini... orang ramai atau anak muda yang sedang mencari pekerjaan boleh datang ke sini. Saya dimaklumkan ada yang terus diterima bekerja selepas menghadiri sesi temu duga dalam siri Jelajah AKM ini, " katanya.

Jelajah AKM edisi Kelantan ini adalah yang keenam untuk tahun ini. Jelajah ini merealisasikan hasrat kerajaan untuk turun padang memberikan perkhidmatan yang ditawarkan oleh setiap kementerian kepada rakyat. 

 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.