Wanita Pejuang Kesaksamaan Jantina Dalam Rangka Kerja Biodiversiti Global

<
strong>Oleh Soon Li Wei

Wartawan Bernama, Soon Li Wei adalah antara 11 orang wartawan dari rantau Asia-Pasifik yang dipilih untuk membuat liputan 2022 UN Convention on Biological Diversity’s 4th Meeting of the Open-ended Working Group on the Post-2020 Global Biodiversity Framework di Nairobi, Kenya berlangsung pada 21 -26 Jun 2022.

Artikel ini adalah sebahagian daripada laporan beliau sebagai felo Earth Journalism Network (EJN),  program anjuran Internews, sebuah Pertubuhan Bukan Berunsur Keuntungan berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

NAIROBI (Kenya), 26 Julai (Bernama) -- Golongan wanita bukan sahaja mempunyai pengetahuan serta  tanggungjawab yang unik dalam penggunaan lestari dan pemuliharaan biodiversiti tetapi juga adalah agen transformasi.

Namun, pergantungan kepada ekosistem yang sihat untuk memberi makan anak serta ahli keluarga menyebabkan mereka terkesan teruk apabila berlaku pencemaran alam sekitar, kehilangan biodiversiti, perubahan iklim serta bencana seperti banjir.

Kehidupan wanita amat bergantung kepada biodiversiti di sekeliling mereka yang turut mempengaruhi aspek sekuriti makanan, mata pencarian serta kesihatan ahli keluarga mereka serta komuniti dan menerusi itu, dunia. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beberapa orang aktivis wanita yang menyertai United Nations (UN) Convention on Biological Diversity’s Fourth Meeting of the Open-ended Working Group on the Post-2020 Global Biodiversity Framework di Nairobi (Kenya) menzahirkan kekecewaan mereka kerana kurangnya wakil wanita dalam proses membuat keputusan biodiversiti.

Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menjadi tuan rumah kepada mesyuarat berkenaan yang berlangsung dari 21 hingga 26 Jun lepas. Ia disertai oleh seramai 1,634 orang peserta terdiri daripada pegawai kementerian, pembuat dasar, aktivis serta pemerhati dari pertubuhan bukan kerajaan alam sekitar dan biodiversiti.

Malaysia turut menghantar 11 orang wakil ke mesyuarat berkenaan termasuk dari Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Pelancongan, Sabah dan Sarawak.

Fokus perbincangan adalah pelan terbaik serta rangka kerja pasca 2020 bagi menyelamatkan biodiversiti bumi yang semakin menyusut.

Rangka Kerja Pasca 2020 Biodiversiti Global (GBF) mengandungi 21 sasaran utama berorientasikan tindakan untuk mencapai “keharmonian hidup dengan alam semula jadi” menjelang 2050.

GBF menjadi fokus Mesyuarat ke-15 Conference of the Parties (COP15) to the Convention on Biological Diversity (CBD) yang akan berlangsung di Kanada penghujung tahun ini (2022). Ia juga akan menjadi panduan kepada semua dasar biodiversiti serta program bagi semua negara peserta untuk tempoh 30 tahun akan datang.

"Sekarang ini tahun 2022, dan kita masih perlu memberi justifikasi kaitan wanita dan biodiversiti dan mengapa kita memerlukan rangka kerja jantina-transformasi dan perkara yang boleh diambil tindakan di forum kebangsaan dan antarabangsa, ” demikian kongsi Shruti Ajit, aktivis dari Women's Caucus, pada sidang media di pejabat Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Nairobi.

"Kehidupan wanita amat bergantung kepada biodiversiti di sekeliling mereka yang turut mempengaruhi aspek sekuriti makanan, mata pencarian serta kesihatan ahli keluarga mereka serta komuniti dan menerusi itu, dunia. 

"Oleh yang demikian, sasaran khusus (dirujuk sebagai Sasaran 22/Target 22) berkait kepada kesaksamaan jantina perlu ditonjolkan dalam rangka kerja ini (Pasca-GBF 2020) bagi mengiktiraf hak wanita untuk menjadi pemilik tanah dan mempunyai akses kepada biodiversiti, " tambahnya.

 

PERANAN WANITA DALAM BIODIVERSITI

Pengarah Women4Biodiversity Mrinalini Rai ketika ditemui media antarabangsa di Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Nairobi, Kenya. Kredit gambar Earth Journalism Network

Target 22, sasaran tersendiri kepada kesaksamaan jantina pertama kali dicadangkan pada sesi di Geneva, Switzerland pada Mac 2022, dan dipersetujui oleh 13 pihak ke CBD termasuk Costa Rica, Chile, Guatemala dan and Tanzania di samping beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada sesi Nairobi, beberapa pihak yang menyokong Sasaran 22 meningkat kepada 22.

Pengarah Women4Biodiversity Mrinalini Rai berkata, wanita adalah pejuang biodiversiti sejati dan sumbangan mereka amat penting kepada pemuliharaan serta perlindungan alam sekitar.

Beliau memberikan pertanian sebagai contoh dan menyatakan bahawa secara umumnya golongan lelaki dianggap dominan dalam sektor berkenaan. Bagaimanapun, beliau menambah, satu usaha yang dibuat oleh Women4Biodiversity menghasilkan penemuan bahawa sebenarnya golongan wanita adalah lebih berpengetahuan dari segi wilayah tanah, sumber air, benih tanaman serta herba.

"Jika anda membayangkan petani, apa yang akan anda nampak? Sudah tentunya pada kebanyakan masa lelakilah yang membanting tulang di ladang.

"Tetapi pengetahuan tentang pengendalian benih, wilayah tanah, bagaimana dan di mana nak cari makanan, kayu api serta sumber air, dalam hal ini, golongan wanita mengatasi lelaki, " beliau memberitahu media.

Rai, yang juga penyandang kerusi Women's Caucus di CBD berkata, golongan wanita adalah penjaga utama biodiversiti tetapi hak, inovasi, pengetahuan serta amalan mereka diabaikan.

Sekumpulan wanita orang asli Kampung Bering, Gua Musang menguruskan ladang mereka semasa lawatan Bernama ke kampung itu, baru-baru ini. Kredit gambar Soon Li Wei.

"Banyak pekerjaan berkaitan ekonomi mengutamakan wanita kerana kemampuan mereka bekerja keras serta berpengetahuan. Bagaimanapun, mereka mudah terdedah kepada keganasan kerana jantina mereka dan ini bukan sahaja melanggar hak manusia tetapi juga sekatan kepada kegiatan pemuliharaan dan pembangunan lestari.

"Itu sebabnya mengapa kita perlu mendesak kepada sasaran khusus baharu mengenai kesaksamaan jantina (Target 22) pada GBF Pasca 2020 ini bagi mengiktiraf sumbangan wanita serta melindungi hak kita dalam biodiversiti, " tambahnya.

Menurut Rai, Target 22 yang dicadangkan adalah untuk menjamin akses serta manfaat yang sama dari pembangunan lestari dan pemuliharaan bagi wanita dan kanak-kanak perempuan, di samping penyertaan mereka dalam sebarang usaha membuat dasar serta keputusan berkaitan dengan biodiversiti.

"Sasaran yang khusus kepada jantina boleh menjadi panduan kepada semua perancangan berkait biodiversiti, dasar serta perlaksanaan dengan bagi menjamin pelaksanaan penuh GBF.

"Ia juga memacu kepada keutamaan kesaksamaan jantina dan memastikan semua negara terlibat menimbangkan sasaran ini dalam proses perancangan, pemantauan serta pelaporan mereka," katanya.

 

KEKURANGAN DOKUMENTASI

Ramai aktivis wanita menyatakan kekecewaan mereka terhadap kekurangan perwakilan wanita dalam proses membuat keputusan biodiversiti. Kredit gambar Earth Journalism Network

Sementara itu, penyelia World Wildlife Fund (WWF) International Global Governance Policy, Cristina Eghenter berkata, antara cabaran yang dihadapi oleh aktivis wanita serta kumpulan kerja yang memperjuangkan kesaksamaan jantina ialah kekurangan dokumentasi bagi menyokong cadangan dalam GBF.

"Hakikatnya, tidak ramai pembuat dasar menyedari hal ini. Sebagai contoh, hampir 50 peratus tenaga pekerja sektor pertanian dunia terdiri daripada golongan wanita desa dan mereka menyumbang kepada sekuriti makanan dunia. Namun tidak ramai yang menjadi pemilik tanah dan kurang akses kepada kewangan," katanya.

Sementara itu, aktivis International Indigenous Forum on Biodiversity and Nia Tero, Jennifer Tauli Corpuz bersependapat bahawa terdapat keperluan untuk mempunyai sasaran khusus untuk kesaksamaan jantina.  

"Setakat ini, hanya Target 21 menyebut peranan wanita dalam GBF, di samping menekankan (peranan yang dimainkan oleh) Orang Asli dan untuk itu, adalah lebih membantu sekiranya ada satu sasaran tersendiri untuk kesaksamaan jantina,” katanya, sambil menambah, beliau berharap sasaran baharu akan diluluskan dalam COP15 (15th Conference of Parties to the UN Convention on Biological Diversity).

COP15 dijadual berlangsung di Montreal, Kanada, dari 5 -17 Disember 2022.

 

RUANGAN SISI

PELUANG WARTAWAN ALAM SEKITAR TINGKAT PENGETAHUAN

Internews Network, kini dikenali sebagai Internews adalah sebuah pertubuhan bukan berunsur keuntungan ditubuhkan pada tahun 1982. Berpangkalan di California, Amerika Syarikat, ia diasaskan oleh David M. Hoffman, Kim Spencer, and Evelyn Messinger.

Pada tahun 2004, Internews menubuhkan the Earth Journalism Network (EJN) untuk membolehkan wartawan dari negara sedang membangun membuat liputan mengenai alam sekitar dengan lebih berkesan.

Misi EJN adalah untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti pelaporan alam sekitar dengan melatih wartawan menulis pelbagai isu.

Untuk usaha ini, EJN juga memberi peluang wartawan dari negara berpendapatan rendah dan pertengahan menghadiri persidangan antarabangsa dan sidang kemuncak, antaranya yang berlangsung di Nairobi, Kenya baru-baru ini.

Seramai 11 orang wartawan dari Mongolia, Malaysia, Brunei, Taiwan, Sri Lanka, India, Pakistan, Nepal dan Bangladesh) dipilih di bawah Program Fellowship untuk membuat liputan dan melaporkan isu alam sekitar serta pemuliharaan biodiversiti di 4th Meeting of the Open-ended Working Group on the Post-2020 Global Biodiversity Framework dari 20 hingga 26 Jun 2022.  

Mesyuarat berkenaan dianggap kritikal untuk pembuat keputusan mencapai kata sepakat sebelum memuktamadkan perjanjian biodiversiti global yang baharu, yang akan diterimapakai di UN Convention on Biological Diversity (CBD) or COP15 yang akan diadakan pada bulan Disember depan di Montreal, Kanada. 

Felo yang terpilih juga menyertai sesi orientasi bersemuka sehari dipimpin oleh jurulatih EJN, Imelda Abaño, Stella Paul dan Michael Salzwedel, bagi menyesuaikan diri dengan dasar biodiversiti global serta proses rundingaN di Konvensyen berkenaan.

 

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.