Debat Perpaduan Mampu Kecilkan Defisit Sosial - Pakar

H
idup dalam masyarakat majmuk dengan pelbagai budaya dan agama seperti di Malaysia, pastinya berhadapan dengan pelbagai mehnah (ujian) dan cabaran, terutama dari segi pergaulan sosial.

Namun dengan bertunjangkan lima prinsip Rukun Negara, rakyat negara ini mampu mengatasi sebarang cabaran yang timbul termasuk perselisihan faham, yang ada ketika menggoncang kestabilan politik negara.

Dalam mendepani keadaan ini, pihak berwajib terutamanya Kementerian Perpaduan Negara secara berterusan berusaha menerapkan lima prinsip Rukun Negara - Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan dalam kehidupan masyarakat di negara ini.

Terkini, kementerian itu menganjurkan Pertandingan Debat Perpaduan 2024 yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 16 Mei ini, membabitkan penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara yang akan berdebat secara dalam talian dan juga bersemuka (separuh akhir dan akhir).

Bertemakan  “Menjiwai Rukun Negara”, pertandingan itu adalah kesinambungan edisi 2023 yang menyaksikan penyertaan 128 peserta daripada 38 pasukan, berbahas secara dalam talian pada September tahun berkenaan. 

Pada peringkat akhir yang berlangsung pada 26 September, pasukan debat Universiti Kebangsaan Malaysia muncul juara, menewaskan pasukan debat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

 

 

JANGAN SEKADAR MENGHAFAL

Menyifatkan penganjuran pertandingan debat sebegini sebagai satu usaha yang cukup baik oleh pihak kerajaan, Prof Datuk Dr Baharudin Puteh dari Fakulti Pendidikan, Universiti Islam Melaka berkata, apabila perdebatan dan pertukaran idea secara sihat bagi mengupas nilai dan hikmah Rukun Negara dapat dilaksanakan, secara tidak langsung ianya dapat menjadikan ahli masyarakat untuk lebih kenal-mengenali budaya pelbagai bangsa dalam negara ini.

Ini kerana katanya, sebahagian besar generasi muda sekarang dilihat hanya sekadar menghafal dan mengingati Rukun Negara di dalam hati, namun jarang sekali untuk menterjemahkannya dalam kehidupan sosial mereka sehingga mengakibatkan jurang antara kaum semakin hari semakin mendalam.

"Oleh itu, dengan adanya pertandingan debat sebegini, peserta akan dapat mengupas lebih lanjut mengenai kepentingan mengamalkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan bermasyarakat. Apatah lagi salah satu teras Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan sebenarnya menggariskan bahawa perlunya untuk kita saling bersopan santun sesama kita biarpun berlainan bangsa atau kaum, selain berusaha untuk memahami perbezaan adat budaya di antara silang bangsa. 

"Jika kita lihat antara syarat pertandingan debat, sesebuah pasukan itu mestilah paling kurang mempunyai dua bangsa yang berbeza. Ini bagi memupuk semangat bekerjasama demi menguruskan perbezaan pemahaman dan pemikiran dalam kalangan peserta itu sendiri sehingga akhirnya mampu menghasilkan idea perdebatan yang berkesan serta berwibawa," jelasnya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Beliau turut memuji matlamat pelaksanaan pertandingan tersebut yang memberi penekanan terhadap pemikiran holistik, yang mana peserta dapat memupuk kesedaran untuk sentiasa menghormati dan menerima kepelbagaian bangsa, agama dan adat resam di Malaysia.

Profesor di Fakulti Pendidikan Universiti Islam Melaka, Datuk Prof Dr Baharudin Puteh

"Namun realiti menyedihkan di sesebuah universiti itu, sering kali kita melihat mahasiswa lebih cenderung untuk bergaul sesama bangsa sendiri dan kurang mengambil inisiatif meluaskan lingkaran persahabatan dengan bangsa yang lain. Diharapkan dengan penganjuran debat sebegini, mereka dapat lebih mengenali rakan-rakan dari bangsa yang berlainan dan seterusnya mampu membina tapak integrasi di varsiti masing-masing," jelasnya.

Menurut beliau yang berpengalaman menganjurkan Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan Yang di-Pertua Negeri Melaka sejak tahun 2022, pertandingan seumpama itu mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada masyarakat dengan peningkatan jumlah peserta setiap kali ia diadakan. 

Lebih menarik, pertandingan pidato itu turut mempunyai satu kategori khas iaitu kategori bukan Melayu yang mendapat sambutan memberangsangkan, dengan peserta mampu bertutur dalam bahasa Melayu begitu baik dan lancar.

"Ini menandakan masih ramai rakyat Malaysia daripada kalangan bukan Melayu cukup sayangkan bahasa ibunda ini dan bersedia untuk memantapkan lagi kefasihan dan kemahiran berbahasa mereka. 

"Kita dapati sebenarnya rakyat Malaysia memang minat program yang berkonsepkan pidato atau debat, lebih-lebih lagi yang membicarakan tentang kepentingan prinsip Rukun Negara. Oleh itu, saya harap semua kementerian dapat berpadu tenaga dan mengadakan pula Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri yang boleh membabitkan jumlah peserta yang lebih besar pada masa hadapan," cadangnya.

 

 

KUKUHKAN KECINTAAN BAHASA IBUNDA

Selain itu, Baharudin melihat pertandingan debat yang juga menekankan syarat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan melalui wahana perdebatan adalah satu usaha yang proaktif oleh kerajaan dalam memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan ini dalam kalangan peserta dan masyarakat umum.

Objektif pelaksanaan pertandingan sebegini bagi memberi penekanan terhadap pemikiran holistik dan pemantapan integrasi kaum.

Menurutnya lagi, dalam membina sebuah bangsa Malaysia yang maju dan berketerampilan, salah satu prinsip yang perlu dipegang adalah sifat sayangkan bahasa Melayu dan sentiasa mengamalkannya sebagai bahasa komunikasi utama di negara ini, berdasarkan kata pepatah 'bahasa adalah jiwa sesebuah bangsa'.

"Jika kita lihat negara maju seperti Rusia, Korea Selatan ataupun Jepun, rakyat di negara-negara berkenaan mempunyai satu persamaan iaitu setiap orang teguh memperkasakan penggunaan bahasa ibunda sendiri dalam segala urusan rasmi mahupun tidak rasmi. 

"Sama juga situasinya seperti di Malaysia. Jika kita ingin melihat negara ini terus progresif dan maju dalam menongkah arus pemodenan, wajarlah untuk seluruh rakyat bersatu hati memantapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara selaras dengan apa yang digariskan Perkara 152 Perlembagaan Negara. Oleh itu, penganjuran debat sebegini pastinya dapat dijadikan platform yang penting untuk memupuk sifat cintakan bahasa Melayu secara lebih mendalam," tambahnya lagi.

Perkara ini ada kebenarannya memandangkan tahap penguasaan bahasa Melayu dan kesalahan tatabahasa ataupun morfologi khususnya dalam kalangan pelajar dan mahasiswa yang dianggap cukup merisaukan. Ini mungkin disebabkan kurangnya sikap rajin membaca serta kerap pula menggunakan bahasa rojak di media sosial sehingga menjadikan ianya satu kitaran budaya berbahasa Melayu yang tidak sihat.  

Baharudin menambah, penguasaan bahasa Melayu khususnya dalam kalangan Generasi Z dan masyarakat Malaysia secara amnya perlulah terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa memandangkan ianya penting dalam membina dan mengukuhkan jati diri bangsa Malaysia.

Oleh itu, beliau menasihatkan peserta pertandingan supaya perlu sentiasa melakukan banyak pembacaan jurnal ilmiah berbahasa Melayu yang menggunakan laras bahasa yang baik dan betul, selain perlu terus mengasah kemahiran untuk berdebat menggunakan bahasa yang sopan serta tepat dari segi tatabahasa dan pembinaan frasa ayat. 

"Saya juga berharap supaya ahli peserta tidak hanya mengamalkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan sopan ini ketika sesi perdebatan sahaja, malahan perlu meneruskannya dalam kehidupan seharian masing-masing. Ini kerana kita tidak ingin wujudkan ahli masyarakat yang hanya sekadar mementingkan sekeping sijil penyertaan dan hadiah wang tunai yang diperolehi dalam sesebuah pertandingan, namun akhirnya tidak mampu mengamalkan semua prinsip Rukun Negara ini pada waktu yang lain," katanya, menambah usaha pengintegrasian kaum perlu dilaksanakan di peringkat awal persekolahan supaya defisit sosial tidak lagi terus melarat pada masa mendatang.

 

TANGANI AGENDA PERPECAHAN

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Ismi Arif Ismail turut bersetuju bahawa platform debat sedemikian amatlah baik untuk memberi ruang perbincangan serta perkongsian maklumat secara berhemah dan peserta dapat berhujah dengan bebas dalam wacana yang sihat namun tetap juga menjaga adab dan menghormati sensitiviti semua pihak.

Ini kerana menurutnya, usahasama semua pihak amatlah diperlukan demi meruntuhkan dinding defisit sosial yang masih lagi wujud, dan ia perlu dilakukan menerusi perbincangan yang harmoni dan saksama sepertimana pemimpin terdahulu bersatu untuk memerdekakan negara dan menjernihkan kemelut perkauman yang berlaku pada 13 Mei 1969. 

Peserta Debat Perpaduan akan dapat mengupas lebih lanjut mengenai kepentingan mengamalkan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan bermasyarakat.

"Sebab rusuhan perkauman inilah menjadi pemangkin wujudnya Rukun Negara pada 31 Ogos 1970. Maka tugas kita adalah untuk membudayakan semua prinsip rukun secara menyeluruh sebagai salah satu cara kehidupan. 

"Apabila setiap rukun dapat difahami, dihayati dan dilaksanakan dalam amalan kehidupan seharian maka baharulah ia dapat dijiwai dan membentuk jati diri bangsa Malaysia," katanya.

Beliau menambah, memang benar ancaman dan gangguan kepada keutuhan perpaduan akan sentiasa ada, namun keutuhan hubungan untuk saling hormat menghormati dan faham memahami antara satu sama lain akan terus menjadi suatu kekuatan 'magis' yang berdaya tahan daripada sebarang gangguan dan konflik perbezaan.

Oleh itu, beliau berpandangan, usaha memantapkan pendidikan perpaduan di setiap peringkat masyarakat perlu dilakukan supaya kerapuhan integrasi kaum ini akan tinggal sebagai sebuah kisah silam dalam lipatan sejarah negara.

"Pendidikan perpaduan adalah amat penting sama ada secara formal atau tidak formal memandangkan pendidikan mampu membawa perubahan berencana yang lebih kekal dan lestari. Justeru program sebegini perlulah dipromosikan secara positif, selain kerajaan boleh memberikan inisiatif bagi sesiapa yang melaksanakan amalan perpaduan. Penguatkuasaan terhadap individu yang memecahbelahkan perpaduan juga perlulah berbentuk mendidik dan bukannya menghukum.

"Usaha promosi dan pendidikan perpaduan ini juga perlu dilakukan di semua peringkat iaitu dari atas ke bawah, lateral dan bawah ke atas, agar semua pihak mengambil tanggungjawab untuk membudayakan sifat perpaduan dalam amalan kehidupan seharian kita," katanya lagi.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.