Kod Etika Wartawan Bezakan Intan Dan Kaca

A
rtikel ini adalah bersempena dengan Hari Wartawan Nasional yang disambut pada 29 Mei setiap tahun

 

Kemunculan media sosial dan kewartawanan warga mengubah landskap industri media di seluruh dunia, dan di negara ini, impaknya terhadap masyarakat umum serta industri media konvensional dilihat agak signifikan.

Menurut pakar, pelaporan menerusi media sosial, khususnya oleh wartawan warga, iaitu golongan yang tidak dilatih mahupun mempunyai pengetahuan tentang kewartawanan, lebih mudah mempengaruhi sentimen masyarakat berbanding media konvensional yang dikatakan dikawal oleh pihak berkepentingan.

Ahli masyarakat jarang mengambil kira hakikat bahawa rata-rata “berita” yang disampaikan oleh wartawan warga ini tidak berdasarkan sumber sahih dan berisiko tinggi sebagai berita palsu, yang hanya bertujuan menjana keuntungan komersial si “wartawan” menerusi pengiklanan yang tertarik dengan jumlah besar tontonan.

Situasi ini kata pakar, meletakkan pengamal media konvensional dalam dilema dan mendorong organisasi serta wartawan untuk mengabaikan Kod Etika Kewartawanan demi mengejar “perhatian” kumpulan sasaran, termasuk membuat laporan berita yang sensasi seperti memainkan isu sensitif dan berat sebelah tanpa semakan fakta.  

Lebih-lebih lagi kod berkenaan telah wujud sejak 1989, iaitu berdekad lamanya sebelum perkembangan teknologi maklumat.

Justeru, penambahbaikan yang dibuat oleh Jabatan Penerangan Malaysia ke atas kod tersebut dan dilancarkan secara rasmi sebagai Kod Etika Wartawan pada 20 Feb lepas, dilihat amat relevan bagi meningkatkan kredibiliti profesion kewartawanan di negara ini.

 

PANDUAN

Mengupas isu itu, Ketua Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya Prof Madya Dr Mohamad Saleeh Rahamad  berkata  setiap pengamal media atau wartawan perlu mendasari pelaporan mereka dengan kod berkenaan yang digubal seiring perundangan berkaitan serta prinsip Rukun Negara.  

“Sememangnya ada berlaku situasi di mana wartawan melanggar kod etika ini dalam membuat pelaporan mereka. Namun, kecenderungan ini berlaku bukan atas kehendak mereka, sebaliknya kerana terpaksa mengikut kehendak dan keperluan pemegang kuasa di organisasi masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Pengamal media perlu menerapkan etika kewartawanan dalam jiwa bagi meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat.

Menurut beliau, ada juga wartawan yang tidak memahami “sekatan halus” semasa membuat pelaporan yang menyentuh budaya, agama dan moral, disebabkan mereka sendiri daripada latar belakang yang berbeza dengan sumber atau isu berita mereka.

“Apabila mereka (wartawan) ini datang daripada pelbagai etnik, kaum dan agama, mereka juga akan memiliki kefahaman berbeza semasa menulis perkara yang menyentuh isu-isu tersebut. Jadi, aspek-aspek seperti ini yang sebenarnya harus diperkukuh.

“Penambahbaikan kod etika kewartawanan ini memberi penekanan pada aspek tersebut bagi membantu pemberita lebih peka,” tambahnya.

Ketika melancarkan kod berkenaan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kod etika itu akan mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat yang diyakini oleh rakyat.

Kod etika tersebut mengandungi lapan perkara utama, antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Perkara lain ialah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, dipastikan kesahihan dan ketetapan maklumat, selain  wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan dasar yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka.

 

BERPEGANG PADA ETIKA

Mohamad Saleeh berkata pengamal media perlu menerapkan nilai-nilai etika kewartawanan ini dalam jiwa mereka bagi meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat bahawa profesion kewartawanan konvensional adalah relevan sebagai penyalur berita sahih, adil dan telus.

“Semua kod etika yang digariskan harus diterapkan di sekolah kewartawanan, supaya mereka yang akan bergelar wartawan ini memahami dan seterusnya mengamalkan kod tersebut dalam kerjaya mereka.

“Secara tidak langsung ini akan mendorong pelaporan akhbar atau media massa itu kembali diyakini oleh masyarakat.  Kita tidak mahu  wartawan warga yang tidak melalui sekolah kewartawanan dan tidak bekerja dengan mana-mana organisasi, menjadi lebih berpengaruh, kerana dengan kuasa di hujung jari ketika ini, mereka boleh menaip apa sahaja isu dan akhirnya memberi pengaruh tidak baik kepada masyarakat,’’ katanya.

Pandangan senada turut disuarakan oleh pensyarah kanan Program Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia Dr Fauziah Hassan yang menekankan kewajaran mematuhi prinsip atau kod etika kewartawanan, sebagai  usaha mendidik  pengamal media agar lebih berintegriti dalam mengeluarkan berita.

Walaupun berita yang dihidangkan itu berbentuk hiburan, beliau berkata sifat berita perlu sederhana tanpa ada unsur melaga-lagakan atau menimbulkan andaian negatif  pada pembaca sehingga mewujudkan perbezaan pendapat yang melampaui batas.

“Kerjaya sebagai pengamal media atau wartawan adalah satu profesion yang mulia, iaitu tugas seorang wartawan boleh dianggap sebagai ejen perubahan yang akan mendidik masyarakat menerusi hidangan berita-berita sahih yang berkualiti.

Kod Etika Kewartawanan, relevan bagi meningkatkan kredibiliti profesion kewartawanan di negara ini.

“Seorang wartawan akan lebih dihormati sekiranya mereka benar-benar menerima guna kod etika kewartawanan yang telah digariskan. Walaupun tidak salah dari segi undang-undang, pelanggaran kod tersebut akan dilihat sebagai kesalahan dalam bentuk moral,” tambah beliau. 

Tegasnya,  integriti seorang wartawan dan organisasi media diukur menerusi kandungan pelaporan mereka, sama ada sekadar tangkap muat atau menangguk di air keruh, mengambil kesempatan daripada isu yang tular tanpa benar-benar mendalami situasi secara menyeluruh.

“Etika ini yang akan membezakan kualiti dan integriti seseorang wartawan itu. Elemen ini juga akan membezakan profesion wartawan sebenar dengan wartawan warga atau wartawan rakyat,” katanya, menambah berbanding wartawan warga, berita yang dihasilkan oleh wartawan sebenar disemak oleh editor yang turut tertakluk kepada kod etika berkenaan.

 

HINDARI DISKRIMINASI

Mengulas lanjut, Fauziah berkata penambahbaikan terhadap kod etika wartawan itu juga adalah langkah tepat dalam membendung pemberitaan berbentuk diskriminasi yang akhirnya boleh mengubah tingkah laku masyarakat terhadap sesuatu perkara.

Beliau berkata  isu yang bersifat menindas individu atau pihak berkaitan akibat sentimen tertentu, tidak boleh terus dinormalisasikan dalam masyarakat di negara ini.

Sehubungan itu katanya, kod etika wartawan memainkan peranan penting supaya pelaporan sesuatu berita tersebut mengetengahkan keadilan, kebenaran dan keseimbangan,  sekali gus menghindari elemen memihak kepada mana-mana golongan.

“Wartawan perlu dicegah daripada menghidangkan berita yang berbentuk diskriminasi serta stereotaip, iaitu bersifat sangkaan atau prasangka, sama ada terhadap individu atau sesuatu kumpulan tertentu semata-mata untuk meraih tontonan yang tinggi.

“Kita maklum bahawa belakangan ini terdapat banyak berita yang memainkan sentimen 3R (raja, agama, dan kaum) yang mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, pemberitaan yang seimbang amat penting bagi membantu mencerminkan masyarakat Malaysia berbilang bangsa, selain memastikan bahawa semua kelompok mendapat representasi yang adil di media,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.