Penduduk Pangsapuri Kos Rendah Bermandi Peluh Akibat Rumah Berbahang

H
ujan lebat yang turun hampir setiap petang sejak seminggu dua ini membuatkan Nor Shamsiah Ibrahim yang mendiami sebuah unit di tingkat tujuh, Blok C, Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama di sini, memanjat rasa syukur ke hadrat Ilahi.

Apa tidaknya, curahan air dari langit tersebut menyejukkan keadaan di dalam rumahnya yang sebelum itu bagaikan sebuah ketuhar besar, berikutan cuaca panas melampau dengan suhu harian mencecah 35 darjah Celsius menjelang tengah hari di Lembah Klang.  

Lebih-lebih lagi, rumah berkeluasan 650 kaki persegi itu juga adalah “pejabat”  wanita berkenaan yang merupakan penyedia perkhidmatan katering aiskrim.

Penghuni Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama Blok C, Nor Shamsiah Ibrahim , 50, menunjukkan tanaman pokok kecil di balkoni kecilnya di kediamannya yang terletak di tingkat 7.

  "Rumah saya hanya ada dua kipas siling di ruang tamu dan masing-masing satu kipas di tiga bilik tidur. Dapur turut dipasang kipas ekzos bagi mengeluarkan bahang yang terhasil apabila saya memasak. 

"Jika hujan turun, kami sekeluarga akan berasa lega kerana rumah akan menjadi berangin dan tidak terlalu panas,” katanya kepada Bernama.

Menurut Nor Shamsiah, 50, ketika cuaca panas, kipas angin di rumahnya akan beroperasi pada kelajuan maksimum selain semua tingkap dan pintu rumah dibuka bagi pengalihan udara, namun katanya, bahang tetap dirasai.

“Dinding rumah pun berasa panas. Yang mampu kami lakukan untuk sejukkan badan hanya mandi dengan lebih kerap,” kongsi ibu kepada dua anak itu kepada Bernama.

 

TANAM POKOK

Bagi penghuni tingkat 10 pangsapuri sama,  Afifah Ibrahim, 63, dia mengambil pendekatan berbeza bagi mengurangkan bahang akibat cuaca panas itu.

Menghabiskan masa lapang dengan menanam pokok-pokok hiasan, suri rumah sepenuh masa itu percaya tumbuhan hijau dapat menyejukkan persekitaran.

"Rumah di tingkat atas tidak terlalu panas kalau ada angin masuk. Cuma, kalau ada tumbuhan hijau, akan 'menghidupkan' dan menyejukkan bahagian dalam rumah.

"Saya juga meminimumkan perabot dan barang-barang di dalam rumah, kerana jika rumah dipenuhi banyak barang, rumah akan menjadi lebih berbahang dan angin sukar untuk masuk ke dalam rumah," jelasnya. 

Penghuni Blok C Pangsapuri Kos Rendah Pandan Utama, Afifah Ibrahim, 63, membuka langsir dan tingkap rumahnya untuk menghilangkan bahang rumah apabila cuaca panas,

Blok C pangsapuri itu yang mempunyai 13 tingkat dengan 193 unit kediaman, pernah tular di media sosial berikutan kawasan lif di setiap tingkat mempunyai dekorasi dan “pemandangan indah” berbeza.

Sementara itu, bagi Siti Nur Masyitah Ismail, 40, yang tinggal di  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sentul Murni, Jalan Sentul di sini,  dia terpaksa membeli dua unit pendingin udara mudah alih bagi menampung keperluan empat orangnya yang masih kecil, berusia satu hingga tujuh tahun. 

"Bil elektrik kami sekarang mencecah RM100 sebulan, namun apakan daya, ada anak-anak kecil yang tidak boleh tahan dengan keadaan panas dan meragam tidak boleh tidur pada waktu malam. 

"Jadi demi anak-anak, saya dan suami terpaksa bekerja lebih masa dengan berniaga pada waktu siang dan sebelah malam menjadi pemandu e-hailing bagi menampung kos sara hidup yang lebih tinggi ketika cuaca panas sekarang," katanya kepada Bernama.   

 

TIADA PENGALIHAN UDARA

Nor Shamsiah, Afifah dan Siti Nur Masyitah adalah antara penghuni pangsapuri kos rendah dan PPR yang kini menanggung sengsara akibat cuaca panas luar biasa yang melanda negara sejak Februari lepas, lantaran perumahan kos rendah terbabit tidak mempunyai ruang untuk pengalihan udara sepertimana projek perumahan kos tinggi.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Khazanah bertajuk “Decent Shelter For the Urban Poor: A Study of PPR” yang dikeluarkan pada Mac 2023, PPR di Kuala Lumpur dibina berdasarkan Standard Perumahan Kebangsaan bagi Perumahan Kos Rendah Rumah Pangsa 1998.

Antara lain, standard itu menggariskan sebuah unit merangkumi tiga bilik tidur, satu ruang tamu yang juga berfungsi sebagai ruang makan, bahagian dapur, dua tandas (satu berfungsi sebagai bilik mandi), ruang laman dan satu bilik utiliti.   

Umumnya, keluasan sebuah unit PPR adalah 650 kaki persegi

Umumnya, keluasan sebuah unit PPR adalah 650 kaki persegi dan semua penghuni - tanpa mengambil kira saiz isi rumah - akan menerima kediaman tiga bilik tidur dengan keluasan yang sama ini, menyebabkan ada keluarga terpaksa bersesak di dalam sebuah rumah yang sempit.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Jayaselan a/l K. Navaratnam, pemaju perlu mengambil kira pelbagai faktor persekitaran apabila mereka bentuk kediaman agar unit yang dibina itu adalah cekap tenaga dan memberi keselesaan kepada penghuni.

“Apabila anda beli rumah, pemaju selalunya memberi penekanan pada orientasi, namun mereka jarang sentuh arah aliran angin, sama ada angin bertiup dari timur ke barat atau arah lain. Maklumat sebegini jarang disediakan,” katanya kepada Bernama. 

Katanya, di kawasan bandar, bangunan berstrata menghasilkan perangkap haba, dan di antara dua buah rumah ada kesan serombong yang memerangkap bahang, menjadikan pengalihan udara sebagai satu aspek yang penting. 

“Kesemua ini adalah tentang reka bentuk. Pada masa akan datang, pihak berkuasa dan pemaju perlu pastikan projek yang dibina itu boleh memanfaatkan alam semula jadi, bukan berlawanan.

“Jika bangunan direka bentuk selaras dengan elemen alam semula jadi, maka kesan negatif dapat dikurangkan. Keadaan ini termasuk penggemblengan bangunan dengan corak pergerakan angin dan lain-lain faktor alam sekitar,” ujarnya.

 

CUACA PANAS DIJANGKA SEMAKIN TERUK

 

Keadaan cuaca panas ini yang berpunca daripada fenomena El Nino selain perubahan iklim global,  dijangka berterusan selama dua bulan lagi, demikian kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad pada 2 Mei lepas.

Kenyataan itu disokong oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 14 Mei, yang dilapor berkata Monsun Barat Daya yang bermula pada 17 Mei akan berterusan hingga September, menyaksikan negara bakal mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak, akibat angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah.

Menurut Ketua Pengarahnya Muhammad Helmi Abdullah, Monsun Barat Daya juga menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan, mengakibatkan taburan hujan lebih rendah dalam tempoh berkenaan.

Keadaan ini pastinya membuatkan kediaman yang tidak memiliki sistem pengudaraan yang baik, khususnya pangsapuri berkeluasan bawah 900 kaki persegi, akan terus “terperangkap” dalam bahang, mendorong penghuni berbelanja lebih bagi membeli kipas angin, penyaman udara atau pendingin hawa mudah alih.

 Memetik laporan media berbahasa Mandarin pada 28 Feb lalu, Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Peralatan Elektrik Malaysia Ng Chye Weng berkata cuaca panas telah melonjakkan jualan kipas angin, pendingin hawa dan penyaman udara antara 50 hingga 60 peratus.

 

TEKNIK PENYEJUKAN PASIF 

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, permintaan terhadap alat pendingin hawa di negara ini adalah sekitar 889,000 unit pada 2022, berbanding 867,000 unit pada 2021. 

Dalam tempoh antara 2013 dan 2022, permintaan meningkat secara beransur-ansur, memuncak kepada lebih sejuta unit pada 2018, sebelum menurun sedikit pada tahun-tahun berikutnya, menyerlahkan peningkatan kebergantungan pada peranti sedemikian bagi mengekalkan keselesaan dalam iklim tropikal di negara ini. 

Bagaimanapun kata pensyarah kanan di Jabatan Senibina, Universiti Teknologi Malaysia Dr Doris Toe Hooi Chyee, kaedah pengalihan udara secara pasif boleh mengurangkan rasa bahang di dalam rumah, sekali gus memberikan keselesaan kepada penghuninya.

Dr Doris Toe Hooi Chyee,

“Teknik ini memanfaatkan udara malam yang lebih sejuk. Kajian menunjukkan pengalihan udara waktu malam jauh lebih berkesan berbanding strategi pengalihan udara lain,” katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, caranya mudah, iaitu sekadar membuka tingkap pada waktu malam agar bahang yang terkumpul di dalam rumah sejak siang hari, dapat keluar berikutan suhu di luar yang lebih sejuk pada waktu malam.

“Memasang kipas ekzos juga boleh meningkatkan kadar pertukaran udara, berpotensi menurunkan lagi suhu waktu malam di dalam rumah sebanyak satu hingga dua darjah Celsius,” jelasnya.  

Bagaimanapun katanya, keadaan itu bergantung pada tahap kelembapan di dalam rumah yang boleh mencecah 70 hingga 80 peratus pada waktu malam.

“Bagi menangani isu ini, lakukan pengalihan udara pada waktu siang yang boleh mengurangkan kelembapan kepada 50 hingga 55 peratus,” jelas beliau lagi. 

Bagaimanapun kata beliau, pengalihan udara sepanjang waktu siang menuntut penghuni mengambil langkah lain untuk menyejukkan persekitaran pada waktu berkenaan.

Menurut Toe, di sebalik manfaat pengalihan udara pada waktu malam, hanya segelintir rakyat Malaysia berbuat demikian.

Rata-rata katanya, hanya melakukan pengudaraan pada waktu siang yang membuatkan udara panas masuk dan berkumpul di dalam kediaman.

Bagi menyejukkan keadaan di dalam rumah pada waktu malam, rakyat Malaysia memilih “khidmat” pendingin hawa, namun disebabkan udara panas yang terkumpul, peranti itu perlu “bekerja lebih keras”, sekali gus meningkatkan lagi penggunaan elektrik, katanya.

 

Artikel ini adalah yang pertama daripada laporan khas dua bahagian tentang kesan cuaca panas terhadap penghuni pangsapuri kos rendah yang tidak mempunyai sistem pengalihan udara serta bagaimana mereka menghadapi keadaan itu. 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.