Hubungan Erat Etnik Bisaya, Kadazan Dusun Lambang Perpaduan Rakyat Sabah

S
ecara keseluruhannya Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 subetnik, masing-masing dengan identiti tersendiri terutama daripada segi budaya, warisan serta latar belakang, namun masih wujud persamaan yang menyatu-padukan semua.

Sebagai contoh, etnik Bisaya yang majoritinya mendiami kawasan Beaufort dan Kuala Penyu yang mempunyai persamaan dengan Kadazan Dusun kerana berasal daripada rumpun yang sama dan hidup harmoni sejak sekian lama.

Kesamaan bahasa, adat, kepercayaan, muzik dan pakaian menjadikan etnik Bisaya turut meraikan Pesta Kaamatan, malah tidak ketinggalan menyertai acara kemuncak sambutan itu di Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) yang berlangsung di sini pada 30 dan 31 Mei lepas.

Penulis yang juga berasal daripada etnik Bisaya turut berasa gembira berpeluang meraikan Pesta Kaamatan, yang asalnya diraikan etnik Kadazan Dusun, bersama seluruh rakyat Sabah dan berkongsi budaya serta warisan etnik itu kepada seluruh rakyat Malaysia.

 

TIDAK JAUH BEZA

Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) Datuk Ruslan Muaram yang berkongsi pandangan dengan Bernama menyatakan bahawa etnik Bisaya adalah salah satu daripada rumpun Kadazan Dusun dan Murut selain turut berada di bawah naungan Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, KDCA.

Beliau yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, meskipun persamaan daripada segi bahasa ibunda bukanlah sama secara keseluruhannya, namun ia masih boleh difahami apabila dituturkan antara etnik Bisaya dan Kadazan Dusun.

"Begitu juga daripada segi persembahan kebudayaan tarian, muzik kulintangan, kalau kita lihat etnik Kadazan Dusun Murut dan Tatana juga ada persamaan.

"Maknanya etnik Bisaya memang tidak jauh berbeza daripada etnik Kadazan Dusun kerana daripada rumpun yang sama," katanya ketika ditemui di Walai Bisaya, Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, KDCA.

Makanan tradisi etnik Bisaya iaitu sagu (berwarna putih) atau dalam bahasa tempatan ambuyat.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, bagi meraikan sambutan Pesta Kaamatan, setiap tahun kepimpinan PBBS akan makan bersama ahli persatuan itu di Rumah Bisaya dengan makanan tradisi iaitu sagu atau dalam bahasa tempatan ambuyat.

Selain sagu, tambahnya, para tetamu juga dihidangkan dengan pucuk rotan, ulam, jeruk bambangan dan ikan yang dimasak berkuah untuk dicecah dengan sagu.

Menurut beliau, kewujudan Rumah Bisaya di KDCA adalah hasil inisiatif bekas presiden PBBS Allahyarham Datuk Lajim Ukin yang memohon daripada bekas Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar diberikan tapak untuk membangunkan rumah Bisaya dalam kawasan KDCA.

Selain mempamerkan budaya dan adat etnik Bisaya, rumah itu turut menyediakan kemudahan bagi pengunjung beragama Islam iaitu ruang solat di samping menyediakan makanan serta minuman halal.

Di dalam rumah itu juga dipamerkan pakaian tradisi perkahwinan masyarakat Bisaya, peralatan etnik Bisaya, perhiasan pelamin, kain hiasan dinding yang dipasang cermin-cermin bersaiz kecil dan maklumat berkaitan masyarakat Bisaya.

 

SEMANGAT PADI, BADAUP

Hubungan antara etnik dalam rumpun Kadazan Dusun, kata Ruslan juga terjalin melalui peralatan muzik seperti kulintangan yang sinonim bagi etnik Bisaya kerana sering digunakan pada setiap keraian.

Malah, katanya, kulintangan juga memperkenalkan etnik Bisaya ke peringkat dunia.

Mengambil contoh kejayaan Razali Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Razali Kulintangan iaitu pemain muzik kulintangan dari etnik Bisaya dari daerah Beaufort, membuktikan peralatan tradisional itu mampu diketengahkan sekaligus menaikkan nama pelbagai etnik di Sabah.

Persembahan kulintangan daripada belia etnik Bisaya sempena sambutan Pesta Kaamatan di Walai Bisaya, Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Penampang.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah Dr Siti Aidah Lukin@Lokin berkata, walaupun masyarakat Bisaya tidak menyambut Pesta Kaamatan seperti etnik Kadazan Dusun namun wujud persamaan adat tradisi semasa, sebelum dan selepas menuai padi yang menjadi penghubung antara etnik itu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden 2 PBBS berkata, setiap etnik itu mempunyai kepercayaan terhadap semangat padi dan lagu-lagu pujian atau dalam bahasa tempatan dikenali sebagai badaup akan didendangkan supaya tiada musibah yang berlaku sepanjang proses penanaman padi.

"Musim menuai padi adalah masa yang meriah bagi masyarakat Bisaya tradisional kerana mereka saling bekerjasama menuai padi secara beramai-ramai sambil badaup iaitu mendendangkan lagu-lagu pujian kepada semangat padi.

"Orang Bisaya juga mengamalkan adat manangas padi (menangas) supaya aktiviti menuai padi berjalan lancar dan hasil padi yang disimpan dalam pondok penyimpanan padi akan tahan lama dan tidak rosak. 

 

MANANGAS PADI

Menurut Siti Aidah, manangas padi biasanya dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kemahiran dalam proses berkenaan, antaranya dengan memilih tujuh tangkai padi untuk dibacakan mentera sebelum dibawa ke tempat penyimpanan padi.

Padi yang disimpan dan ditumbuk secara beramai-ramai dalam lesung besar yang mempunyai tiga lubang akan menghasilkan irama tradisional yang dipanggil sebagai mangalang.

Ahli PBBS menikmati makan malam menu ambuyat di Walai Bisaya Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Penampang.

Bagaimanapun, etnik Bisaya membentuk identitinya tersendiri kerana majoriti masyarakat Bisaya adalah beragama Islam dan mula meninggalkan amalan tradisional yang bertentangan dengan ajaran Islam. 

Tambah beliau, secara umumnya bahasa pertuturan suku kaum Bisaya mempunyai persamaan dengan bahasa suku-suku lain dalam rumpun Kadazan Dusun.

Meskipun terdapat perbezaan antara suku itu daripada segi tatabahasa seperti ejaan, imbuhan dan struktur ayat tetapi apabila dituturkan oleh suku lain seperti Dusun Tatana di daerah Kuala Penyu, masih boleh difahami oleh masyarakat Bisaya. 

“Banyak perkataan terutamanya kata dasar mempunyai erti yang sama contohnya kalau suku lain dalam rumpun Dusun berbual-bual, kita (etnik Bisaya) masih boleh faham walaupun mungkin tidak dapat mencelah secara spontan sebab terdapat perbezaan dari segi pembinaan kata dan ayat.

"Untuk corak yang melambangkan identiti masyarakat Bisaya pula, kita ambil daripada rupa bentuk bunga kunyit dan pucuk labu yang terdapat dalam corak pada kain hiasan pelamin dan dinding etnik Bisaya yang dipanggil laluangan," katanya menambah, corak itu diolah semula bersesuaian dengan identiti etnik Bisaya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.