Ada Permintaan Dorong Lambakan Kontraktor Tidak Berdaftar - Pakar

D
i sebalik pelbagai isu membabitkan kontraktor tidak berlesen seperti kerja tidak berkualiti, gagal siapkan projek, atau lebih serius, “lesap” selepas menerima bayaran pendahuluan, masih ramai ahli masyarakat memilih mengupah mereka untuk membina atau mengubah suai kediaman dan premis.  

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), mereka menerima 150 aduan membabitkan penipuan pengubahsuaian rumah oleh kontraktor tidak berlesen bagi tempoh Januari 2022 hingga Jun 2023.

Bagaimanapun, dipercayai angka sebenar adalah lebih tinggi kerana ada mangsa yang tidak tampil membuat aduan, lantaran mereka berpendapat tidak banyak tindakan yang boleh diambil terhadap kontraktor tidak berlesen terbabit.

Perkara itu juga ditegaskan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan yang berkata pihak kementerian tidak dapat membantu sekiranya pemilik kediaman atau premis ditipu oleh kontraktor tidak berlesen.

Beliau berkata sekiranya orang ramai melantik kontraktor berlesen untuk pengubahsuaia atau pembinaan rumah, tindakan boleh diambil sekiranya syarikat tersebut menghilangkan diri.

Mangsa penipuan syarikat tersebut juga boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah jika mempunyai maklumat yang lengkap, namun sekiranya kontraktor luar atau warga asing dilantik dengan tujuan menjimatkan kos, pihaknya tidak dapat bertanggungjawab sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

 

KOS UPAH RENDAH

Mengulas perkara itu, pensyarah di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia Ar Nasrudin Sharkawi berkata masalah kontraktor tidak berdaftar bukan isu baharu, sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama.

“Isu ini susah untuk diselesaikan kerana masih ramai pemilik kediaman atau premis yang sanggup mengambil risiko mengupah kontraktor tidak berlesen termasuk warga asing.

“Antara faktor penyumbang adalah kos yang rendah berbanding kontraktor berdaftar. Kos mereka rendah kerana mereka tidak tertakluk kepada undang-undang buruh atau standard Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang perlu diterima guna oleh kontraktor berlesen,” jelasnya kepada Bernama.

Selain itu, ada juga pemilik yang terpedaya dengan hasil kerja dipamerkan oleh si kontraktor terbabit di laman sosial mereka sedangkan realiti adalah sebaliknya.

Masih ramai memilih mengupah kontraktor tidak berlesen untuk membina atau mengubah suai kediaman dan premis.

“Pemilik kediaman yang tertarik dengan paparan foto cantik mungkin kurang memahami pentingnya memeriksa kelayakan dan rekod kerja kontraktor sebelum membuat keputusan. Mereka mungkin terpesona dengan visual yang menarik tanpa menyedari bahawa itu tidak menjamin kualiti kerja sebenar.

“Bagi sesetengah pemilik kediaman, memeriksa kelayakan dan reputasi kontraktor boleh menjadi sesuatu yang rumit dan memakan masa.  Justeru, mereka menjadikan paparan foto di laman sosial sebagai satu-satunya cara untuk menilai kualiti kerja kontraktor,’’ tambahnya.

Selain itu, kata beliau, ada juga kes warga asing yang memerlukan wang dan sanggup melakukan kerja pembinaan atau pengubahsuaian pada kos amat rendah, namun kerap kali kualiti kerja tidak seperti yang diharapkan oleh pemilik.

“Tidak kurang juga kes kontraktor tidak berlesen mengeksploitasi pekerja mereka, terutama warga asing, dengan tidak membayar gaji dan sebagainya, membuatkan pekerja terbabit cabut lari tanpa menyiapkan projek,” ujar beliau.

 

 MALU BUAT ADUAN

Nasrudin yang juga seorang arkitek berkata, keengganan pemilik untuk tampil membuat aduan menyebabkan kontraktor tidak berlesen di negara ini seolah-olah kebal dan tidak kisah beroperasi tanpa lesen.

Menurut beliau, antara punca hal itu berlaku adalah pemilik berasakan tindakan membuat aduan sebagai leceh dan menyusahkan, justeru mereka lebih rela menanggung kerugian. 

“Ada juga mangsa mungkin tidak memahami prosedur yang betul untuk melaporkan penipuan atau tidak yakin tindakan mereka itu akan mendapat respons yang memuaskan daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Mangsa beranggapan apabila mereka melaporkan isu penipuan kontraktor haram itu, mereka perlu keluarkan kos yang tinggi dan menunggu lama, kerana prosiding undang-undang untuk menuntut ganti rugi daripada kontraktor haram tersebut memang mengambil masa, terutama jika melibatkan prosiding mahkamah,” jelasnya.  

Akibatnya, kata beliau, kontraktor tidak berlesen berkenaan akan terlepas daripada tindakan undang-undang selain membuka ruang kepada mereka untuk mengulangi jenayah penipuan tersebut.

Sambil menggesa mangsa tampil membuat aduan kepada pihak berwajib, Nasrudin berkata hanya dengan cara itu kegiatan kontraktor haram terbabit dapat dikawal.

“Selain memberi kerugian ekonomi kepada pemilik projek, kegiatan penipuan atau kerja yang tidak memuaskan oleh kontraktor haram ini boleh merosakkan kepercayaan dan reputasi industri pembinaan secara keseluruhan apabila pemilik projek atau pelanggan menjadi skeptikal terhadap kontraktor lain, termasuk yang berdaftar,” katanya.

 

BUAT SEMAKAN PROFIL

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata pemilik kediaman harus cakna tanggungjawab mereka untuk melakukan semakan terhadap kontraktor yang bakal dilantik, termasuk meneliti latar belakang syarikat serta kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor tersebut sebelum ini.

“Memastikan kontraktor mempunyai lesen dan kelayakan yang diperlukan adalah langkah paling penting, termasuk memastikan mereka berdaftar dengan agensi berkaitan seperti CIDB atau badan lain. Secara tidak langsung, ini menjamin nilai kerja kontraktor tersebut sekiranya projek gagal disiapkan.

“Pemilik boleh meminta profil syarikat kontraktor terbabit sebelum memberikan tawaran kerja atau projek. Lihat contoh-contoh kerja yang telah disiapkan atau hubungi pelanggan-pelanggan terdahulu untuk mendapatkan maklum balas tentang prestasi kontraktor tersebut,” nasihat beliau.

Pemilik kediaman sanggup mengambil risiko mengupah kontraktor tidak berlesen termasuk warga asing kerana kadar upah rendah.

Tambahnya lagi, perjanjian bertulis di antara pemilik kediaman dan kontraktor perlu jelas, termasuk butiran kerja yang diperlukan, jadual pembayaran serta peruntukan bagi perubahan atau tambahan kerja.

Pemilik kediaman juga perlu memantau projek secara berterusan untuk memastikan kerja dijalankan mengikut jadual dan standard yang dijangka.

“Pemilik kediaman boleh mendapatkan khidmat nasihat perunding profesional pembinaan seperti arkitek, jurutera atau juruukur bahan. Malah, boleh melantik mereka sebagai ejen pelaksana bersama pihak kontraktor.

“Kita tidak mahu tuan rumah hanya mampu gigit jari apabila kerja pembinaan kediaman mereka terbengkalai dan tindakan pula tidak boleh diambil kerana kontraktor yang menjalankan kerja tersebut tidak dapat dikesan dalam sistem pendaftaran kontraktor,” katanya.

 

PELANGGARAN UNDANG-UNDANG

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina Universiti Malaya Prof Madya Sr Dr Mohd Suhaimi Mohd Danuri berkata hanya melaksanakan projek berskala kecil bukan alasan untuk kontraktor tidak berdaftar.

“Menjadi satu kesalahan bagi kontraktor tidak berlesen melaksanakan sebarang projek pembinaan, sama ada projek kecil ataupun besar…ia satu pelanggaran undang-undang.

“Seksyen 25(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520) tidak mengehadkan keperluan pendaftaran kontraktor dengan pihak CIDB untuk penyertaan tender (projek) kerajaan atau projek swasta yang berskala besar sahaja. Ini bermakna sub-kontraktor juga tidak terkecuali.

“Malah, Seksyen 29 Akta 520 turut menetapkan pihak yang melanggar seksyen 25(1) ini adalah melakukan suatu kesalahan, dan jika disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 atau tidak lebih daripada RM100,000,” katanya.

CIDB sebelum ini dilaporkan berkata hampir sebahagian besar syarikat kontraktor yang  tidak berdaftar dengan lembaga itu menyatakan tidak ada keperluan untuk mereka mendaftar dengan tanggapan lesen CIDB hanya untuk kontraktor yang berhasrat terlibat dalam projek kerajaan.

Pada masa sama, Mohd Suhaimi berkata CIDB memerlukan kerjasama orang ramai untuk melaporkan kegiatan kontraktor tidak berlesen terbabit kerana mustahil untuk Lembaga berkenaan memantau setiap kontraktor yang ada di seluruh negara ini.

“CIDB sudah tentu akan bertindak jika ada aduan, serta tindakan pula akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Bagi saya, kontraktor haram akan terus berani untuk menawarkan perkhidmatan melaksanakan kerja pembinaan selagi masih ada permintaan daripada pelanggan atau pemilik premis. Dalam situasi ini, sebenarnya  pemilik premis juga melakukan kesalahan di bawah Akta 520 kerana melantik kontraktor yang tidak berdaftar dengan CIDB,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata  Seksyen 25 Akta 520 ini juga menyatakan, mana-mana individu yang melakukan kerja-kerja kontraktor tanpa ada lesen CIDB yang sah bukan sahaja boleh didenda malah boleh diarah untuk menghentikan kerja pembinaan serta merta.

Pemilik premis atau pelanggan boleh menuntut gantirugi dari pihak kontraktor dengan membuktikan kerugian yang ditanggung dari kegagalan kontraktor menyiapkan kerja, namun perlu diingatkan pihak kontraktor juga berhak menuntut wang baki kerja siap yang belum dibayar oleh pemilik.

Mereka yang melakukan kerja-kerja kontraktor tanpa ada lesen CIDB yang sah bukan sahaja boleh didenda malah boleh diarah untuk menghentikan kerja pembinaan serta merta

‘’Jika tiada jalan penyelesaian antara pemilik premis dan kontraktor, pertikaian mungkin perlu diselesaikan melalui prosiding mahkamah. Namun, perlu diingatkan pemilik premis atau pelanggan ini mungkin akan menghadapi kesukaran dalam mengambil sesuatu tindakan undang-undang sekiranya tiada perjanjian secara bertulis malah keadaan akan jadi lebih sukar jika syarikat kontraktor ini bukan sahaja tidak berdaftar dengan CIDB malah didapati langsung tidak berdaftar dengan pihak SSM.

‘’Pemilik juga akan menghadapi kesukaran untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya kontraktor terus menghilangkan diri kerana telah mendapat bayaran yang lebih dari sepatutnya. Walaupun ada kes dimana pemilik premis berjaya mengambil tindakan terhadap kontraktor untuk kes tindakan sivil melalui prosiding mahkamah, perlu diingatkan bahawa untuk mengambil tindakan mahkamah biasanya melibatkan kos dan masa yang mungkin bukan sedikit, dan ada ketika mungkin tidak berbaloi dengan jumlah kerugian yang ditanggung,’’ kata Mohd Suhaimi.

Lesen CIDB atau lebih dikenali sebagai lesen kontraktor adalah slip akuan atau sijil bagi seseorang yang ingin menjalankan dan menyiapkan kerja-kerja pembinaan. Kontraktor itu perlu terlebih dahulu berdaftar dengan CIDB mengikut akta pembinaan yang telah ditetapkan.

 

YAKINI KONTRAKTOR BERDAFTAR

Mengulas lanjut, Mohd Suhaimi berkata pemilik premis perlu meletakkan nilai kualiti dan aspek keselamatan sebagai perkara utama berbanding kos upah yang rendah dalam pemilihan kontraktor.

Jelasnya, ini kerana kontraktor berdaftar telah melalui semua proses penilaian dan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh CIDB bagi melayakkan mereka melaksanakan projek pembinaan yang sesuai dengan kos atau kemampuan kewangan dan teknikal sesuatu projek pelanggan.

''Kontraktor yang berdaftar ini adalah kumpulan kontraktor yang berkepakaran dan berpengalaman di mana mereka ini melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab.

“Mereka ini akan menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi  sekali gus berperanan memperkasakan lagi industri pembinaan di Malaysia,'' katanya.

Sehubungan itu, pemilik kediaman dinasihatkan membuat carian di laman web CIDB bagi memastikan kontraktor dilantik telah pun berdaftar dengan agensi itu.

Pemilik kediaman juga digalakkan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada firma perunding bagi memastikan perjanjian yang dibuat dengan kontraktor mengandungi peruntukan yang sepatutnya, untuk melindungi hak pemilik dan mengelakkan mereka daripada ditipu.

“Orang ramai perlu tahu bahawa kontraktor yang berdaftar dengan CIDB ini adalah kontraktor yang berkemampuan menyiapkan projek pembinaan. Bukan sahaja dengan kualiti yang baik tetapi juga mengutamakan keselamatan tapak bina sepanjang projek berlangsung bahkan juga selepas projek disiapakn.

“Namun tidak dinafikan ada segelintir kontraktor berdaftar gagal menyiapkan projek pelanggan dan bertindak melarikan diri. Bagi menangani isu ini, pemilik premis  boleh menyemak di laman web CIDB bagi memastikan kontraktor yang hendak dilantik tidak mempunyai rekod tindakan disiplin CIDB,’’ katanya.

 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.