TINDAKAN SETERUSNYA MENANGANI ISU DADAH

D
i pintu masuk Poliklinik Khafidz, klinik merawat ketagihan yang beroperasi sejak tahun 2001 di Kajang, terdapat dua anak panah dilukis menggunakan pita di atas lantai jubin. Yang kanan menunjukkan arah ke pintu kayu yang bercorak, sementara yang satu lagu menunjuk ke sebuah pintu biasa.

Setiap hari Muhammad, 31, memasuki pintu yang bercorak.  Begitulah juga halnya dengan ratusan pesakit ketagihan yang melakukan perkara yang sama untuk mendapatkan metadon, opiat sintetik yang digunakan untuk membantu penagih heroin mengawal ketagihan mereka. Ini diharap dapat membantu mereka berhenti terus mengambil dadah tersebut.

Muhammad memberitahu Bernama, dia mengambil heroin sejak berumur 15 tahun, mungkin bukan suatu kejutan memandangkan ibu bapanya juga penagih dadah. Banyak kali dia cuba berhenti mengambil heroin dan meth tetapi gagal.

Akhirnya, dia ke klinik ini untuk mendapatkan rawatan selepas rakannya, bekas penagih dadah yang bekerja sebagai pegawai khidmat masyarakat khusus untuk penagih bagi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), merujukkan dia ke situ.

“Kawan beritahu, ‘Kalau nak berhenti betul-betul, kena ada doktor yang mengawasi (dengan kaunseling) semua tu’,” katanya menambah, sudah setahun dia tidak mengambil dadah dan berharap akan bebas dadah selama-lamanya.

Kisah Muhammad ini boleh dianggap satu kejayaan kerana meskipun dia adalah pengguna dadah intravena (IV) lebih daripada sedekad lamanya, dia tidak pernah diuji positif HIV, di sebalik hakikat sekitar 30 peratus penagih dadah menggunakan jarum diuji positif HIV pada tahun 2008, menurut laporan Kementerian Kesihatan. Dalam hal ini, Muhammad adalah contoh yang menunjukkan matlamat pendekatan HIV/AIDS Malaysia iaitu pengurangan kemudaratan berbanding sifar toleransi ada impaknya.

Dengan kejayaan itu, para pakar meneruskan langkah berikutnya iaitu dekriminalisasi dadah (bukan pesalah jenayah terhadap penagih dadah). Pada tahun 2023, kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori untuk kesalahan dadah. 

Pada 26 Jun lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Kabinet meluluskan pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Anggota Pasukan Petugas Dekriminalisasi Dadah di bawah naungan Kementerian Kesihatan mengalu-alukan langkah ke arah dekriminalisasi dadah, tetapi menambah terdapat beberapa isu yang kerajaan perlu tangani bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya. Dalam hal ini, mereka belum lagi diminta memberi pandangan.

 

KEGUNAAN PERIBADI

Malaysia membuat komitmen terhadap dekriminalisasi dadah tahun lalu (2023), dengan mengiktiraf bahawa perang ke atas dadah dengan pendekatan sifar toleransi gagal kerana bilangan tangkapan dadah masih tinggi tanpa menunjukkan pengurangan dalam kes pengedaran dadah.

“Pengurangan kemudaratan terbukti berjaya tetapi daripada segi bebas dadah sepenuhnya gagal,” kata Dr Mohd Khafidz Mohd Ishak, pengamal perubatan ketagihan dan anggota Pasukan Petugas Dekriminalisasi Dadah di bawah Kementerian Kesihatan.

“Apa yang kamu lakukan (seperti) mengawal pengambilan aiskrim dalam sehari.  Contoh, anak anda nak aiskrim. Dia nak lima kali sehari tetapi anda tidak boleh halang anak anda daripada tidak makan aiskrim langsung. Lima kali tak bagus untuk kesihatannya. Jadi anda kawal dia boleh makan satu aiskrim sehari sahaja,” katanya.

Para pakar ketagihan dadah dengan pantas menekankan bahawa dekriminalisasi dadah bukan bermakna membenarkan dadah dijual dan orang boleh mengambil semua jenis dadah.

Sebaliknya, penjualan serta pengedaran dadah terlarang masih lagi melanggar undang-undang dengan dekriminalisasi dadah, cuma orang tidak akan ditangkap kerana memiliki jumlah dadah yang kecil, hanya cukup untuk kegunaan peribadi. Ini bermakna, penagih dadah boleh membawa dadah secukupnya untuk melepaskan gian dan membantu mereka berfungsi. Individu yang mahu bereksperimen dengan dadah atau mengambil dadah untuk rekreasi juga tidak akan ditangkap sebagai penjenayah.

Pada masa ini, undang-undang Malaysia kerana memiliki dadah terlarang adalah antara yang paling keras di dunia, boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup untuk jumlah yang kecil, yang pakar ketagihan pernah menyatakan bahawa jumlah tersebut cukup untuk bekalan seminggu.

Pendekatan pengurangan kemudaratan juga bermakna menukar pendekatan dalam mengendalikan pengguna dan penagih. Pada perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan, Saifuddin memberitahu para pemberita, pindaan-pindaan ke atas Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 melibatkan 29 fasal.

Satu daripadanya ialah bagaimana penagih disantuni atau dilayani, sebagai individu sakit dan bukan penjenayah.

“Jika pindaan ini diluluskan ia akan memudahkan usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk memulihkan golongan penagih tanpa perlu menempuh banyak kerenah birokrasi dan lebih efektif, " katanya.

Kerajaan dijangka membentangkan pindaan-pindaan tersebut sebelum penghujung sesi Parlimen yang sedang berlangsung.

 

SATU RAWATAN BUKAN UNTUK SEMUA

Para pakar ketagihan memberitahu Bernama, memberi tumpuan kepada pengurangan kemudaratan dan dekriminalisasi dadah akan menggalakkan lebih ramai orang tampil untuk mendapatkan bantuan, kerana mereka mungkin tidak akan ditangkap.

Pakar Sakit Jiwa Ketagihan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Fadzli Mohamad Isa berkata, dekriminalisasi membuka peluang untuk orang mendapatkan rawatan.

“Pada pandangan saya, jika ini berlaku, lebih ramai orang mahu mendapatkan rawatan seawal mungkin. Bukan menunggu sehingga mereka jadi penagih tegar, bukan hanya selepas mendapat komplikasi psikologi seperti psikosis, kecelaruan mood, jadi itulah sebab dan peranan dekriminalisasi,” katanya.

Para pakar juga menyatakan, ketagihan dadah adalah isu yang rumit, dan dasar mendiskriminalisasi dadah perlu mengambil kira semuanya itu. Semua bersetuju menyantuni penagih dadah sebagai pesakit dan bukan penjenayah, sebagai langkah positif.

Dr Khafidz, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) berkata, dekriminalisasi memerlukan pegawai polis merujuk penagih dadah kepada AADK dan pusat rawatan, dan bukan menghantar mereka ke penjara.

“Perlu ada hubungan antara doktor dan pegawai penguatkuasa. Jika pegawai penguatkuasa menahan orang daripada mendapatkan rawatan, bagaimana doktor boleh melakukan tugas mereka?” katanya, menambah, pegawai polis pernah datang ke kliniknya untuk menangkap penagih dadah yang menjadi pesakitnya.

Pengarah Program Dasar Dadah di Yayasan AIDS Malaysia Palani Narayanan berkata, beliau bimbang bagaimana dasar akan menggolongkan pengguna dadah, sambil menyatakan bukan semua pengguna adalah penagih yang memerlukan rawatan.

“Mereka yang bereksperimen atau menggunakan dadah rekreasi tidak perlu dimasukkan ke pusat pemulihan. Mereka mungkin memerlukan kaunseling, bimbingan. Masukkan mereka ke pusat pemulihan, itu tidak akan mencapai sebarang hasil,” katanya.

Beliau juga bimbang sama ada pindaan itu akan memberi lebih banyak kuasa kepada pegawai-pegawai AADK dan bukannya doktor yang akan menentukan siapa yang memerlukan pemulihan serta rawatan.

Dr Mohd Fadzli berpandangan, perlu ada lebih banyak pilihan untuk rawatan.

“Tetapi ada kalanya orang masuk pintu yang salah. Saya katakan pintu yang salah kerana kadangkala mereka bukannya teruk bergantung kepada dadah tetapi perlu menjalani program yang disusun khas untuk penagih tegar,” katanya.

Beliau menambah, orang ramai perlu tahu di mana mereka boleh mendapatkan bantuan, sama ada di hospital, klinik swasta atau NGO.

 

PORTUGAL DAN DISKRIMINALISASI DADAH

Piawaian emas untuk pengurangan kemudaratan adalah Portugal, yang melaksanakan diskriminalisasi dadah pada tahun 2001. Negara kecil Eropah ini menggantikan dasar yang memfokus kepada hukuman dengan dasar yang membolehkan orang memiliki dadah termasuk heroin, kokain dan ganja dalam jumlah yang cukup untuk kegunaan 10 hari. Meskipun penggunaan dadah masih diharamkan, mereka yang menyalahguna, diberi pemetikan dan rujukan untuk pusat rawatan. Bagaimanapun, kehadiran adalah secara sukarela. 

Setakat ini, bilangannya adalah menggalakkan. Populasi penjara menurun dan juga kes dos berlebihan, dan seperti Malaysia, bilangan kes HIV dalam kalangan pengambil dadah yang menggunakan picagari juga menurun. Penggunaan dadah kekal pada paras sama dan tidak bertambah seperti yang  dibimbangi.

Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, keadaan di Portugal menunjukkan perubahan. Ada pembuat dasar yang menyoal sama ada mereka perlu meneruskan dasar berkenaan memandangkan kadar dos berlebihan meningkat berbanding sedekad lalu, juga jenayah hartanah yang didakwa melibatkan penagih dadah.

Penyokong dekriminalisasi menyalahkan kekurangan dana sebagai punca.

Di samping dana, para pakar juga berkata, data yang baik juga penting. Pada masa ini, hanya Malaysia mempunyai data orang yang ditangkap atas tuduhan berkaitan dadah dan mereka yang dihantar ke pusat pemulihan. Tidak ada data mengenai bilangan pengguna dadah atau tahap penggunaan dadah di Malaysia.

Menurut Dr Khafidz, apa pun bilangan yang Malaysia ada untuk pengguna dadah, ianya mungkin kurang daripada jumlah yang sebenar iaitu mungkin jutaan ramainya.

Palani, yang juga anggota Pasukan Petugas berkata, Malaysia perlu belajar daripada kegagalan Thailand apabila mereka membenarkan penggunaan ganja rekreasi, yang sepatutnya tidak dikelirukan dengan dekriminalisasi dadah, dua tahun lalu, mengenai kepentingan data. Membenarkan ganja juga membenarkan penjualan, pengedaran dan penanaman ganja.

Thailand akan mengharamkan ganja rekreasi yang akan dikuatkuasakan pada penghujung tahun ini. Bagaimanapun, ganja perubatan, yang bukan psikoaktif, masih dibenarkan.

“Tidak ada pelan pelaksanaan yang berstruktur. Tidak ada tapak perintis, sistem pemantauan dan penilaian, untuk pantas bertindak menangani cabaran dan masalah. Paling penting, tidak ada persetujuan bersama dalam kalangan semua parti bahawa ini adalah isu nasional yag perlu dilaksanakan, ” kata Palani menerusi Zoom.

Beliau menambah, Malaysia memerlukan data bagi menjamin kejayaan pelaksanaan dasar dekriminalisasi dadah dan pengurangan kemudaratan.

Dr Fadzli yang juga Ketua Unit Ketagihan Psikiatri di HKL menggesa kerajaan untuk mendapatkan penglibatan pemegang taruh dalam sektor rawatan dan pemulihan, terutama pertubuhan berasaskan komuniti dan bekas pengguna dadah, sebelum membentangkan pindaaan-pindaan tersebut.

“Ia juga perlu mengutamakan intervensi perubatan dan kesihatan selaras dengan penerimaan ketagihan sebagai penyakit perubatan,” tambahnya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

 

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.