KETAMADUNAN

MENGHAYATI ERTI PEMIMPIN YANG SEBENAR

26/06/2020 08:19 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Madya Kolonel Dr Burhanuddin Jalal

Dunia secara keseluruhannya telah dikejutkan dengan pandemik COVID-19. Sehingga kini jumlah kematian semakin meningkat. Memetik laporan daripada AFP dalam Berita Harian, 24 Mei 2020, lebih 5.25 juta kes COVID-19 dan seramai 339,000 telah maut di seluruh dunia akibat pandemik ini. Daripada jumlah itu, negara yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi ialah Brazil (1,001), diikuti Amerika Syarikat (AS) (989) dan Mexico (479).

Tidak dapat dinafikan bahawa manusia seluruhnya berada dalam keadaan gelisah dan ketakutan kesan daripada pandemik ini dan menyebabkan terdapat sebahagian dari penduduk sesetengah negara telah mula memprotes pihak kerajaan yang telah mengenakan tempoh sekatan atau ‘lockdown’ yang terlalu lama. Demonstrasi dilakukan bertujuan mendesak kerajaan menarik balik perintah sekatan bagi membolehkan rakyat melakukan aktiviti seperti biasa.

Pada sisi lain, terdapat kalangan pemimpin negara-negara tertentu yang tidak menunjukkan tahap kepemimpinan yang terbaik dalam mengurus wabak yang merebak dengan cepat dan pantas ini apabila mengeluarkan beberapa kenyataan yang agak kontroversial pada pandangan masyarakat umum termasuk antaranya "virus ini tidak bahaya” atau “virus tersebut tidak sampai ke sini’.

Wibawa pemimpin

Secara umumnya tugas dan peranan pemimpin bukanlah mudah. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa, ia memerlukan tahap kemahiran yang tinggi dan mungkin tidak sama dengan orang lain. Dalam Islam, seseorang pemimpin perlu mempunyai kemahiran untuk mengurus hal ehwal dunia (siyaasatud dun-ya) dengan penuh kebijakan agar rakyat dapat merasai faedah yang terbaik. Perlu ditekankan bahawa pemimpin perlu sentiasa memikirkan hal ehwal dan kebajikan orang yang dipimpin atau rakyat di akar umbi kerana kebijakan atau kepimpinan yang dilakukan sebenarnya membawa kepentingan umum atau kemaslahatan sekali gus untuk menghindarkan kemudaratan atau disebut sebagai dar-u al mafaasid.

Dalam hal ini Abu al-Hassan Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi atau lebih dikenali sebagai al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkamu Sultaniyyah, menyatakan bahawa kecerdasan akal dan sikap yang baik merupakan ciri terpenting atau kompetensi yang tinggi bagi seseorang pemimpin itu mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik terhadap rakyat atau orang yang dipimpin dalam keadaan atau situasi yang pelbagai dan tidak menentu.

Perkara ini penting kerana tidak ramai pemimpin yang mampu menyerap atau menyesuaikan keadaan yang sukar dengan mudah dan cepat apatah lagi seperti suasana wabak atau pandemik COVID-19 ini yang menyerang dengan batas dan tempoh kesukaran yang panjang.

Pemimpin berwawasan

Sirah Nabi Yusuf telah difirmankan oleh Allah dalam surah Yusuf ayat 43, yang menceritakan mimpi raja yang memerintah negara Mesir dengan kata-katanya, “sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu betina yang gemuk telah dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan juga aku melihat tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh tangkai gandum yang kering”.

Perkara ini telah dijawab oleh Nabi Yusuf dengan kata-katanya, “Hendaklah kamu bercucuk tanam selama tujuh tahun berturut-turut dan sebahagiannya kamu biarkan di tangkainya dan sebahagiannya kamu makan”.

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, bahawa kemampuan Nabi Yusuf untuk ‘melihat’ apa yang akan berlaku pada masa hadapan serta memberikan nasihat yang penting bagi raja untuk membuat keputusan terbaik untuk negara dan rakyatnya.

Ternyata kemampuan pemimpin untuk membuat telahan atau keputusan untuk masa depan amat penting khususnya dalam konteks mengurus kerajaan yang memerlukan perancangan jangka panjang dan jangka pendek yang tepat berdasarkan sumber yang sedia ada.

Kepimpinan Sayidina Umar al-Khattab

Begitu juga keadaan yang telah berlaku terhadap kerajaan negara Islam di bawah pimpinan Sayidina Umar al-Khattab yang ketika itu menghadapi musim kemarau yang panjang di seluruh kawasan Semenanjung Arab yang telah berlaku selama sembilan bulan pada tahun 18 Hijrah. Era tersebut yang dikenali sebagai ‘aam ramadhah’ atau tahun kering telah menyebabkan kemarau yang panjang serta mengakibatkan kekurangan makanan dalam kalangan rakyat.

Dalam keadaan ini Umar al-Khattab sebagai khalifah telah memaksimumkan dana yang terdapat di Baitulmal negara untuk membantu rakyat. Sayidina Umar serta pembantunya sentiasa sibuk ke seluruh pelosok negara, bagi memastikan tiada rakyat yang kebuluran kesan daripada keadaan kering kontang tersebut dan keadaan tersebut telah merubah keadaan fizikal Sayidina Umar yang dikatakan menjadi kurus dan kulitnya menjadi hitam.

Beliau tidak lagi memikirkan makanan untuk dirinya, bahkan beliau tidak lagi selera untuk makan dengan makanan yang layak untuk dirinya. Seorang sahabatnya pernah berkata, “andainya musim kemarau ini terus berpanjangan, kemungkinan Sayidina Umar akan meninggal dunia”.

Galas amanah rakyat, bukan kesenangan diri

Ternyata menjadi pemimpin yang berwibawa bukanlah sesuatu yang mudah dan tidak sekali-kali mengambil kesempatan untuk mengumpul kekayaan, nama atau kesenangan diri serta keluarga. Seorang pemimpin yang dipilih oleh rakyat sewajarnya tidak meletakkan jurang dirinya dengan rakyat atau orang-orang yang dipimpin dan perkara ini turut perlu difahami oleh orang-orang atau pegawai-pegawai yang berada di sekeliling pemimpin sekali gus perlulah menjadi penasihat yang jujur, amanah serta memahami tugas seorang pemimpin yang sebenar.

Sesungguhnya amanah kepemimpinan bukanlah warisan dari keluarga terdahulu dan juga bukan sekadar janji-janji manis atau memberi habuan dan hadiah. Untuk menjadi pemimpin yang berwibawa seseorang itu perlu menerapkan dalam dirinya kecintaan terhadap agama dan umat seluruh serta kesanggupan untuk berkorban apa sahaja demi rakyat dan itu bukanlah sesuatu yang mudah.

Setiap pemimpin wajar untuk sentiasa mengingati firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud, “wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah menjadi saksi yang adil, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

-- BERNAMA

Profesor Madya Kolonel Dr Burhanuddin Jalal ialah pensyarah kanan di Jabatan Kenegaraan, Kepemimpinan dan Ketamadunan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Kuala Lumpur.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)