TINTA MINDA

PENERUSAN SUBSIDI BERSASAR BUKTI ANWAR NEGARAWAN BESAR

23/05/2024 02:53 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan

Dalam Perutusan Negara baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mengenai komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan tiga masalah fiskal utama negara sekali gus menambah baik pengurusan wang awam bagi membolehkan Kerajaan berbelanja untuk kebajikan rakyat dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

Satu daripadanya ialah perbelanjaan yang tidak berhemat melalui pemberian subsidi pukal yang menjadikan subsidi Malaysia antara tertinggi di dunia yang menguntungkan golongan kaya kerana penggunaan atau perbelanjaan mereka bagi suatu barang dan perkhidmatan lebih besar, turut dinikmati oleh 3.5 juta warga asing serta membuka ruang kepada penyeludupan.

Untuk menyelesaikan masalah ini, Kerajaan mengambil pendekatan berani untuk menyasarkan semula subsidi di mana Kerajaan telah menjana penjimatan RM4 bilion setahun hasil penyasaran subsidi mengikut penggunaan elektrik selain menjana penjimatan RM100 juta sebulan ekoran pengapungan harga ayam yang turut menstabilkan bekalan dan merendahkan harga ayam.

Subsidi bersasar

Serentak dengan itu, Anwar mengumumkan bahawa Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api yang akan mula dilaksanakan ke atas bahan api diesel. Sebagai permulaan, penyasaran subsidi diesel hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.

Penjimatan daripada penyasaran subsidi ini pula digunakan untuk menambah baik bantuan kepada rakyat, antaranya ialah dengan meningkatkan peruntukan dan/atau meluaskan bilangan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).

Apatah lagi bila Anwar menegaskan, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, Kerajaan akan terus memberi subsidi kepada para peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Selain itu, Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu selain menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil. Ini, selain jangkaan penjimatan sekitar RM4 bilion setahun, adalah bagi memastikan kebajikan rakyat akan terus terpelihara bagi menangani kos sara hidup.

Perubahan

Tepat sekali penegasan Anwar dalam Perutusan Negara beliau, hanya Kerajaan MADANI yang berani membuat perubahan. Hanya dengan tekad yang jelas mampu mengeluarkan kita daripada kancah perangkap pendapatan menengah dan seterusnya mencapai tujuh penanda aras Ekonomi MADANI yang terkandung dalam Inisiatif Ekonomi MADANI yang diluncur pada 27 Julai 2023.

Anwar mempunyai keazaman politik (political will) yang kuat untuk merealisasikan apa yang beliau perkatakan serta tidak takut untuk menanggung risiko menerima tindak balas politik (political backlash) daripada golongan kaya yang akan menerima kesan langsung daripadanya.

--BERNAMA

Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)