AM

TOURISM MALAYSIA RAIH ANUGERAH PERAK DI DRUM MARKETING AWARDS APAC

21/06/2024 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Tourism Malaysia meraih Anugerah Perak menerusi kategori Kerajaan/Sektor Awam pada Drum Marketing Awards Asia Pasifik (APAC) dalam majlis anugerah pada 30 Mei lepas di Singapura. 

Menurut kenyataan Tourism Malaysia hari ini, anugerah tersebut mengiktiraf kempen ‘Selamat Kembali ke Malaysia’ yang dibangunkan oleh BBC StoryWorks untuk Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) pada 2023.

“Dalam dunia pascapandemik, MTPB mengenal pasti peluang untuk mengukuhkan semula Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama. Kempen berkenaan bertujuan memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap pelancongan yang menawarkan pengalaman secara langsung (experiential) dan penuh keaslian (authentic).

"Objektifnya adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mengubah sentimen jenama, dengan menempatkan Malaysia sebagai negara yang mesra pelancong, kaya dengan kepelbagaian budaya dan berbaloi diteroka untuk merasai pengalaman unik.

“BBC StoryWorks membangunkan kempen ‘Selamat Kembali ke Malaysia’ untuk menarik pengembara yang bijak, kaya dan teliti bagi meneroka lebih banyak tentang Malaysia. Kempen ini mencapai hasil yang luar biasa, melepasi penunjuk prestasi utamanya (KPI) dengan lebih 16 juta tontonan video dan 1.3 juta tontonan halaman,” katanya.

Menurut Tourism Malaysia, kajian lanjut oleh BBC StoryWorks terhadap lima filem tersebut menunjukkan peningkatan 12 peratus dalam jenama kegemaran, peningkatan 11 peratus dalam niat pembelian dan 96 peratus keinginan untuk berinteraksi dengan jenama.

“Drum Marketing Awards APAC menekankan keberkesanan dan impak kempen ‘Selamat Kembali ke Malaysia’ dalam memperbaharui dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf tinggi,” katanya.

"Drum Awards merupakan program anugerah global berprestij yang meraikan amalan terbaik, syarikat cemerlang dan individu luar biasa dalam pemasaran dan komunikasi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan