AM

KSN KETUAI JAWATANKUASA PERHALUSI TERMA DAN SYARAT KONTRAK BESTINET

25/06/2024 02:58 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi membincangkan terma dan syarat kontrak Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) susulan keputusan dasar Kabinet untuk melanjutkan kontrak syarikat itu untuk tempoh tiga tahun lagi. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Jabatan Peguam Negara.

 “Sudah ditubuhkan (jawatankuasa),  Kabinet buat keputusan dasar. Sambung atau tidak (keputusannya adalah) sambung.

“Kabinet menyusul dengan tindakan keputusan bahawa diwujudkan sebuah jawatankuasa dipengerusi KSN,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan membincangkan terma kontrak meliputi prinsip tertentu seperti percepat proses permohonan dan kebajikan pekerja asing.

“Kesemua itu akan jadi satu kerangka yang memandu jawatankuasa yang diketuai KSN ini untuk memperhalusi terma kontrak,” katanya.

Bestinet adalah syarikat penyedia Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) (eng: Foreign Workers Centralised Management System).

Ditanya adakah kontrak Bestinet dipersetujui disambung selama tiga tahun, Saifuddin Nasution mengesahkan perkara itu.

"(Kontrak) sudah dimuktamadkan dan sudah diberi keputusan oleh Jemaah Menteri beberapa minggu lalu jadi kerajaan sudah menubuhkan jawatankuasa diketuai KSN,”katanya.

Media sebelum ini melaporkan kontrak Bestinet kemungkinan akan disambung selepas berakhir pada 31 Mei lalu.

Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 meminta KESUMA dan KDN berbincang dan memutuskan pihak yang akan bertanggungjawab penuh terhadap sistem pengurusan pekerja asing tanpa mengabaikan keperluan semua pihak berkepentingan.

Ini susulan pengurusan pekerja asing melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan FWCMS di bawah KESUMA didapati tidak memuaskan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan