AM

SABAH PERUNTUK RM474.55 JUTA UNTUK TINGKAT TAHAP PENDIDIKAN TAHUN INI - HAJIJI

25/06/2024 04:27 PM

TAWAU, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperuntukkan RM474.55  juta untuk meningkatkan tahap pendidikan di negeri ini pada tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata peruntukan itu juga adalah untuk memperkukuhkan pembangunan modal insan seperti pemberian biasiswa dan dermasiswa, pembangunan serta operasi sekolah termasuklah perpustakaan.

“Kerajaan juga telah merangka pelbagai program dan memperkasakan inisiatif sedia ada demi memastikan setiap anak-anak mempunyai akses kepada pendidikan demi kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

“Ini termasuklah memperkasa ekosistem sains, teknologi dan inovasi,” katanya dalam kenyataan ketika merasmikan majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (Mapens) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah tahun 2024 di sini hari ini. Hajiji diwakili Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Menurut Hajiji segala inisiatif itu sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kepentingan modal insan.

“Inilah bukti betapa kerajaan sangat prihatin akan kebajikan rakyatnya dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk meningkatkan tahap pendidikan negeri ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua pendidik atas kejayaan yang dicapai dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dengan lonjakan yang amat memberangsangkan.

Menurut beliau pencapaian calon peperiksaan SPM Tahun 2023 lebih baik berdasarkan indeks Gred Purata Negeri (GPN) dengan nilai GPN 5.09, berbanding 5.22 mata pada 2022.

-- BERNAMA  

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan