AM

KUSKOP ADAKAN SESI LIBAT URUS PERTAMA MPUKPPD ZON UTARA - EWON

29/06/2024 04:58 PM

GEORGE TOWN, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) hari ini mengadakan sesi libat urus pertama berhubung cadangan pelaksanaan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Peringkat Daerah (MPUKPPD) bagi negeri-negeri zon utara.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata sesi tersebut diadakan bagi memaklumkan cadangan pelaksanaan MPUKPPD di empat negeri di zon utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain mendengar pandangan setiap wakil negeri.

“Objektif utama MPUKPPD ini adalah untuk menguruskan pembangunan usahawan dan koperasi di peringkat daerah selain membantu menyelesaikan isu membabitkan pihak terlibat dengan lebih efektif dan efisien.

“Minggu lepas kita telah mengadakan sesi libat urus yang sama di Sarawak dan cadangan ini diterima baik. Begitu juga Sabah yang telah melaksanakan MPUKPPD sebagai projek rintis tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Ewon berharap cadangan tersebut akan diterima baik oleh negeri-negeri lain di Semenanjung.

Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Ketua KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh, dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Azizul Alias, wakil-wakil pejabat setiausaha kerajaan negeri dan pegawai daerah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan