POLITIK

CIKGU JOO MANFAAT MINGGU KEDUA KEMPEN PERJELAS MANIFESTO

30/06/2024 10:17 AM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Minggu kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dimanfaatkan sepenuhnya oleh calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin untuk memperjelaskan iltizam beliau yang dilancarkan malam tadi.

Joohari, 60, yang mesra disapa Cikgu Joo berkata ini penting bagi memastikan pengundi memahami harapan dan hasrat yang hendak dibawa oleh beliau kepada masyarakat di Sungai Bakap, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat pada 6 Julai nanti.

“Saya nak yakinkan bahawa apa yang digariskan dalam manifesto itu bukan sesuatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan.

“Kalau (saya) dilantik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), inilah wakil rakyat yang sealiran dengan peringkat negeri dan Persekutuan dan banyak yang boleh dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan iltizam PRK DUN Sungai Bakap di Taman Tasek Indah Simpang Ampat, di sini malam tadi.

Bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu menggariskan empat teras utama dalam iltizam atau manifesto bagi PRK berkenaan yang diambil daripada perkataan per-P.A.D.U-an iaitu P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai; dan U - Untuk Semua.

Joohari memberikan keyakinan bahawa apa yang digariskan dalam iltizam itu akan sedaya upaya dilaksanakan namun ia bukanlah dapat diselesaikan dalam masa satu atau dua minggu.

“Tapi saya yakin insya-Allah saya dapat laksanakan sepanjang satu bulan. Berilah masa sebab projek-projek besar melibatkan banyak peringkat bukan setakat DUN tapi juga negeri dan Pusat jadi ia berfasa,” katanya.

Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan