EKONOMI

PENDEKATAN BERSASAR MAJUKAN BAKAT, PENDIDIKAN MAMPU TINGKAT DAYA SAING MALAYSIA - AHLI EKONOMI

30/06/2024 10:44 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Kedudukan daya saing Malaysia di dunia mampu ditingkatkan menerusi pendekatan bersasar dengan membangunkan bakat tenaga kerja dan pendidikan bagi mencapai tahap prestasi yang tinggi.

Langkah ini sekali gus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan melonjakkan pendapatan per kapita, kata Ketua Ekonomi Global Juwai IQI Shan Saeed.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan bekerjasama dengan universiti di Malaysia untuk melaksanakan ujian bakat pintar yang memfokuskan kepada Bahasa Inggeris dan matematik bagi menangani jurang kemahiran tenaga kerja.

“Dengan memberi tumpuan kepada kemahiran komunikasi, pembentangan dan pemahaman tentang geografi dan ekonomi global mampu memenuhi sebahagian besar permintaan tenaga kerja organisasi global,” kata Shan kepada Bernama.

Shan berkata 80 peratus kejayaan korporat bergantung kepada kemahiran komunikasi dan teknikal yang boleh dicapai melalui latihan semasa bekerja.

Justeru, dengan pengenalan ujian bakat tersebut, pelajar boleh meningkatkan kemahiran matematik dan Bahasa Inggeris untuk memajukan kerjaya mereka, katanya.

Shan berkata demikian sebagai respons kepada hantaran di X.com (dahulunya Twitter) oleh ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia Apurva Sanghi, yang menekankan bahawa Malaysia masih lemah dari segi tenaga kerja mahir.

Pada 24 Jun, Apurva membicarakan mengenai penurunan Malaysia dalam Kedudukan Daya Saing Dunia 2024 Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa terkini ke tempat ke-34 daripada ke-27 daripada 67 negara.

"Tetapi tanggapan bahawa pelabur menggunakan kedudukan ini untuk membuat keputusan pelaburan agak tidak tepat. Tiga perkara paling penting yang dilihat pelabur ialah kestabilan dasar (lebih daripada kestabilan politik), kualiti infrastruktur (kedua-dua fizikal dan pendigitalan), serta bakat,” kata Apurva.

Bagaimanapun, Apurva menegaskan bahawa dalam hal pelaburan, faktor bakat kekal menjadi kelemahan kepada Malaysia. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pentadbiran negara telah membuat keputusan yang membanggakan setakat ini dalam meningkatkan daya saing Malaysia.

Meskipun langkah-langkah yang tidak popular seperti kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan rasionalisasi subsidi bahan api diperkenalkan, beliau berkata pendekatan itu perlu untuk pembaharuan jangka panjang.

Beliau menganggap faedah daripada tindakan ini akan menjadi jelas dari semasa ke semasa, dengan rasionalisasi subsidi membolehkan langkah penjimatan itu disalurkan ke arah meningkatkan pendidikan di peringkat prasekolah, rendah dan menengah.

"Kita akan lihat hasilnya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang apabila kita melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam pelbagai bidang. Dalam jangka panjang, pelabur akan mengiktiraf usaha ini dan melabur secara beransur-ansur di Malaysia," katanya.

Mohd Afzanizam berkata pelabur institusi, khususnya, sangat bergantung kepada penyelidikan komprehensif daripada kedua-dua pasukan dalaman dan sumber luaran mereka. Beliau berkata pendekatan pelbagai aspek ini memastikan mereka mempunyai pemahaman yang menyeluruh sebelum membuat sebarang pelaburan.

“Metrik utama dalam penilaian penarafan negara termasuk defisit fiskal, hutang kerajaan, nisbah perkhidmatan hutang, turun naik keluaran dalam negara kasar (KDNK), imbangan akaun semasa, aset rizab antarabangsa dan kualiti institusi, seperti tadbir urus. Faktor-faktor ini penting dalam menentukan kestabilan ekonomi dan potensi pelaburan sesebuah negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan