AM

NADI BANTU SURI RUMAH RAIH PENDAPATAN EMPAT ANGKA

30/06/2024 10:57 PM

KUALA SELANGOR, 30 Jun (Bernama) -- Bermula dengan hanya mengait kasut cucu perempuan sulungnya berikutan harga kasut jenis itu yang dijual agak mahal, seorang suri rumah tidak menyangka seni kait mampu menjana pulangan pendapatan sekitar empat angka sebulan.

Paridah Abu, 62, berkata penyertaannya sebagai usahawan kraftangan di bawah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Batu 19 Jeram, Kuala Selangor bagi menambah input dan kreativiti untuk seni itu sejak 10 tahun lalu membolehkannya menjana pendapatan tambahan menerusi kemahiran yang dikuasai sejak zaman remaja.

Ibu kepada tiga anak itu menghasilkan pelbagai produk antaranya kasut bayi, rantai kunci, topi, beg tangan dan beg duit yang dijual hingga RM300 untuk satu unit.

Selain dijual di bengkel yang terletak di rumahnya di Kampung Sungai Sembilan, Jeram di sini, produk-produk itu turut dipasarkan di program atau karnival jualan anjuran jabatan dan agensi kerajaan.

“Kalau saya jual secara dalam talian atau di rumah, boleh dapat sekitar RM1,500 sebulan tapi apabila NADI bawa saya sebagai usahawan mereka ke program seperti karnival, saya mampu jana jualan hingga RM3,500 bagi satu-satu penganjuran program.  

“Tidak rugi menjadi usahawan NADI ini kerana banyak ilmu yang diperoleh dan seharusnya mereka yang lebih muda daripada saya meneroka peluang ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di reruai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Karnival Kita MADANI Selangor di sini hari ini.

Selain kelas pemasaran dan keusahawanan, Paridah berkata menerusi NADI, dia dapat menambah ilmu kreativiti menerusi pembelajaran menggunakan media sosial untuk memberi ilham mengait produk baharu.

Bagi usahawan menjual kerongsang yang baru berniaga hampir empat bulan, Fauziah Masud, 44, berkata NADI Taman Saujana Utama di sini banyak membantu dirinya dalam memberi maklumat serta kemahiran untuk menjual menerusi platform e-dagang.

Fauziah diberikan kelas atau kursus permulaan untuk memahami selok belok perniagaan dan turut dibimbing dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Kita asyik fikir NADI ini sebagai tempat nak gunakan komputer serta cetak dokumen. Sebenarnya pelbagai kursus keusahawanan ada dianjurkan di sini dan seharusnya masyarakat di pelbagai peringkat ambil peluang disediakan kerajaan untuk jana pendapatan dan merubah kehidupan,” katanya.

Suri rumah itu yang diberikan peluang pertama kali berniaga di Karnival Kita MADANI Selangor secara percuma oleh NADI, melahirkan rasa bertuah kerana tidak perlu mengeluarkan modal untuk membayar sewa tapak dan mampu meraih jualan memberangsangkan.

“Karnival seperti ini pengunjung sudah ada, cuma saya perlu mengasah kemahiran untuk berurusan dengan pelanggan agar mereka membeli produk kita.

“Alhamdulillah setakat ini banyak kerongsang terjual, setakat tengah hari tadi saya dah dapat lebih RM300. Begitu juga semalam. Saya harap selepas ini dapat terus diberi peluang untuk menyertai karnival seperti ini,” katanya.

Selain itu pengunjung Nor Hafizah Zainol, 36, berkata aktiviti Advokasi Klik Dengan Bijak yang dilaksanakan di reruai MCMC memberi pengetahuan baharu berkenaan maklumat terkini serta risiko penggunaan Internet khususnya kepada kanak-kanak.

“Di sini turut diberi penerangan berhubung ancaman penggunaan Internet oleh pegawai bertugas sebab kita kini menggunakan teknologi sepanjang masa dan tanpa kita sedar apa yang dikongsikan kepada orang adalah data peribadi.

“Selain itu aktiviti dalam bentuk interaktif berbentuk permainan juga disediakan kepada kanak-kanak untuk mereka mengetahui serba sedikit berhubung cara untuk menggunakan Internet,” katanya.

Program selama dua hari bermula semalam anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Selangor itu menghimpunkan pameran interaktif pelbagai jabatan serta agensi kerajaan antaranya bomba, polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta aktiviti seperti #GengSubuhMacamJumaat dan Jualan Ehsan Rahmah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.  

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan