AM

JAMINAN KEMASUKAN MATRIKULASI WAJAR, PENGIKTIRAFAN KEPADA PELAJAR CEMERLANG - PAKAR

30/06/2024 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Keputusan kerajaan memberi jaminan kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memasuki Matrikulasi tanpa mengira kaum dan wilayah adalah langkah perlu dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan negara, sekali gus mengiktiraf pencapaian cemerlang anak-anak Malaysia.

Bagi Timbalan Pendaftar Universiti Putra Malaysia Noor Mohamad Shakil Hameed, keputusan kerajaan itu dilihat membuka peluang kepada semua pelajar tanpa mengira kaum memperoleh peluang seimbang bagi melanjutkan pengajian.

Beliau berkata dengan bertambahnya bilangan pelajar cemerlang, keputusan ini juga dapat mengurangkan kebimbangan ibu bapa tentang masa depan anak-anak yang ingin menjejakan kaki ke menara gading.

“Apa yang penting kerajaan tidak sama sekali berkompromi dalam soal kedudukan dan peluang orang Melayu apabila kuota bumiputera terus dikekalkan dan dipertahankan. Maka, tidak timbul sebarang polemik keputusan seperti ini menggugat peluang pelajar Melayu untuk terus menyambung pengajian ke Matrikulasi.

“Ironinya, pelajar yang cemerlang tanpa mengira kaum adalah aset masa depan negara. Justeru mereka perlu disediakan laluan dan platform yang dijamin kerajaan supaya bakat dan kecemerlangan mereka tidak sia-sia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, kerajaan memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat Matrikulasi, bermula tahun ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas itu tidak akan menggangu kuota pelajar bumiputera sedia ada.

Senada dengan Noor Mohamad, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad mengalu-alukan keputusan yang diambil kerajaan, sekali gus berpandangan ia menjadi pengiktirafan buat anak-anak Malaysia yang cemerlang.

“Pada saya ini adalah satu perubahan yang kita harus lihat bahawa anak-anak kita yang cemerlang kita tidak boleh bezakan (diketepikan), maksudnya kalau mereka cemerlang maka mereka harus diberikan ruang dan pengiktirafan.

“Cuma, kita dalam masa sama juga tidak boleh meninggalkan kumpulan murid-murid kita yang kurang cemerlang. Contohnya, ramai anak-anak bumiputera yang mendapat keputusan baik seperti 6A, 7A tetapi mereka berada dalam misalnya, keluarga miskin, maka mereka tidak dapat peluang pendidikan yang banyak,” katanya.

Justeru, beliau berharap agar jumlah Matrikulasi atau pengambilan pelajar di sesebuah Matrikulasi dapat ditambah bagi memastikan pelajar-pelajar bumiputera yang memperoleh keputusan baik dapat melanjutkan pelajaran di institusi berkenaan.

“Kalau boleh tambah lagi 10 ke 20 peratus (jumlah) pengambilan, maka kita akan dapati lebih ramai anak-anak bumiputera dapat belajar di Matrikulasi. Pada masa sama, kita juga raikan anak-anak bukan bumiputera yang mendapat keputusan cemerlang.

“Kita tidak mahu melihat tindakan ini boleh digunakan sesetengah pihak kononnya ia mengambil peluang atau rebut hak orang bumiputera. Bagi saya tidak timbul isu itu,” katanya.

Seorang pekerja swasta R. Naviin, 34, menyifatkan pengumuman itu menjadi bukti komitmen kerajaan dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang bagi menerajui dan memenuhi permintaan industri-industri penting dalam negara pada masa hadapan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata pengumuman berkenaan juga menjadi pembakar semangat kepada pelajar yang berpotensi dalam pembelajaran, sekali gus memberi makna yang cukup besar khususnya bagi mereka dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan.

“Kerajaan amat komited dalam memupuk generasi baharu yang cemerlang, saya percaya ini merupakan strategi positif dalam memastikan tiada pelajar berkemahiran dan berpendidikan akan terlepas pandang atau keciciran,” katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan