DUNIA

39 MAUT, 361 CEDERA DALAM PROTES ANTICUKAI DI KENYA

02/07/2024 11:53 AM

NAIROBI, Kenya (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh dalam protes antikerajaan berhubung cadangan kenaikan cukai, menurut laporan Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia Kenya (KNCHR).

Agensi Anadolu melaporkan Pengerusi KNCHR Roseline Adede dalam satu kenyataan lewat Isnin berkata kematian itu semua disebabkan oleh pertempuran ganas antara penunjuk perasaan dan polis di seluruh negara Afrika Timur itu.

"Data daripada rekod kami menunjukkan bahawa 39 orang telah meninggal dunia dan 361 cedera berhubung dengan protes di seluruh negara," kata Adede dalam satu kenyataan.

"Suruhanjaya terus mengecam sekeras-kerasnya kemungkinan keganasan dan kekerasan yang tidak wajar yang dikenakan ke atas penunjuk perasaan, kakitangan perubatan, peguam, wartawan dan di tempat selamat seperti gereja, pusat kecemasan perubatan dan ambulans," katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika majoriti anak muda Kenya bersiap sedia untuk satu lagi pusingan demonstrasi yang ditetapkan untuk Selasa, dengan menyuarakan rasa tidak puas hati mendalam dan menuntut kebertanggungjawaban kerajaan di tengah-tengah kesusahan ekonomi yang dihadapi oleh ramai rakyat.

Menurut badan pemantau hak asasi yang dibiayai oleh kerajaan tetapi bebas, jumlah kematian mengikut wilayah adalah seperti berikut: Nairobi (17), Nakuru (tiga), Laikipia (satu), Narok (satu), Kajiado (tiga), Uasin Gishu (4), Kakamega (satu), Kisumu (dua), Kisii (satu), Mombasa (tiga), Siaya (satu), Kiambu (satu) dan Nandi (satu).

Angka kematian baru itu bercanggah dengan kenyataan Presiden William Ruto pada malam Ahad, yang mendakwa hanya 19 orang meninggal dunia semasa protes, menurut Anadolu.

Keselamatan telah dipertingkatkan berikutan pergolakan yang meluas di Kenya yang dicetuskan oleh Rang Undang-Undang Kewangan 2024.

Protes itu mengakibatkan rompakan dan kerosakan harta benda yang meluas di seluruh negara.

Ruto tunduk kepada tekanan orang ramai pada Rabu lepas dan mengumumkan bahawa beliau tidak akan menandatangani rang undang-undang kontroversi itu.

Kenderaan tentera dan pengangkut anggota berperisai telah meronda di Nairobi, dengan tentera bersenjata berat membantu polis dalam mencegah kekacauan, rompakan dan vandalisme.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan