AM

APLIKASI SUPERAPP UNTUK RUJUKAN PEMAJU HARTANAH DAN PEMBELI MENJELANG TAHUN DEPAN - KPKT

04/07/2024 09:51 AM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang membangunkan analitik data besar dipacu aplikasi SuperApp sebagai rujukan kepada pemaju, pembeli dan artkitek bagi pembangunan projek perumahan baharu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata SuperApp sebuah aplikasi menyediakan berbagai layanan dalam satu platform dijangka akan dilancarkan tahun depan.

“SuperApp itu akan membantu pembeli menyemak latar belakang pemaju termasuk latar belakang kawasan kediaman baharu yang akan dibina. Bagi pemaju pula, ia akan membantu mereka menilai kesesuaian jenis projek sama ada teres, kondominium atau apartmen.

“Ia juga untuk menambah baik dalam menjalankan perniagaan serta membantu membuat keputusan yang lebih tepat serta mengurangkan lambakan hartanah tidak terjual, katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas majlis perasmian Sidang Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) dan perasmian ARCHIDEX 2024 di sini, hari ini.

Perasmian ACMROCB dan ARCHIDEX disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu dalam ucapannya, Nga berkata China telah menjadi peneraju dalam teknologi secara konsisten mendorong batasan inovasi dan pembangunan dan yakin bahawa ASEAN akan mendapat manfaat yang besar daripada peningkatan kerjasama dan pertukaran dengan negara itu.

Beliau berkata bahawa dengan memanfaatkan kemajuan teknologi China, ASEAN dapat mempercepat pertumbuhan dan pembangunannya di pelbagai industri terutamanya dalam pembinaan dan perumahan.

“Apa yang saya dapati mengagumkan ialah lonjakan dalam penggunaan teknologi digital serta tenaga boleh diperbaharui di mana China menerajui dunia.

"Kerjasama strategik dengan China dalam teknologi pembinaan hijau akan membantu ASEAN dan rantau Asia Pasifik secara keseluruhan dalam usaha kolektif kita untuk beralih daripada bahan api fosil. Kita memerlukan bakat pintar untuk menjadikan bandar pintar berfungsi untuk kita," katanya.

Sementara itu, Nga berkata pihaknya menyasarkan nilai dagangan sebanyak RM1 bilion sepanjang empat hari Pameran Senibina Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2024 yang bermula hari ini dengan lebih 40,000 pengunjung dari 100 negara dijangka turut serta.

"Lebih 700 pempamer ditempatkan di 11 dewan pameran di mana (terdapat) senarai menunggu, ada 200 lagi syarikat yang tidak sempat sertai pameran edisi ke-23 ini.

“Oleh kerana itu, tahun depan apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, KPKT akan bekerjasama dengan REHDA (Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia) dan syarikat lain untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN 2025, iaitu (pameran) yang lebih besar," katanya.

Terdahulu, Anwar dan Nga menyaksikan penyerahan Surat Tunjuk Minat daripada Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff melalui anak syarikatnya PR1MA Communications Sdn Bhd kepadaTimbalan Pengarah Wilayah, Bahagian Perniagaan Peranti, Kumpulan Perniagaan Pengguna Huawei Technologies (Malaysia) Sdn., Henry Hsu Yen Shuenn.

Majlis penyerahan surat itu adalah sebagai kerjasama dalam menerapkan peranti pintar Huawei ke dalam pembangunan PR1MA bagi meningkatkan kualiti kehidupan para penduduk.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan