AM

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON TIMUR BERMULA ESOK, TAWAR LEBIH 180 PERKHIDMATAN

04/07/2024 10:17 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) --  Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur akan membuka tirai esok hingga Ahad ini di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang dengan membawakan lebih 180 perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri secara langsung kepada rakyat.

Program yang merangkumi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan itu dijangka menarik lebih 300,000 pengunjung.

Program MADANI Rakyat Zon Timur menumpukan kepada aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, pelancongan serta pertanian dan keterjaminan makanan, selain memberi peluang kepada masyarakat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan penambahbaikan mutu perkhidmatan kerajaan.

Pelbagai tarikan menanti pengunjung antaranya karnival kerjaya yang menyediakan lebih 1,700 peluang pekerjaan serta pameran dan perkhidmatan berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI).

Acara lain yang bakal menjadi perhatian termasuk Jualan MADANI dengan potongan harga sehingga 30 peratus, pengurangan kadar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 50 peratus dan program Jom Tukar Topi Keledar yang menawarkan 1,000 unit topi keledar sehari.

Pengunjung juga berpeluang mengikuti pameran aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Bagi peminat haiwan terutamanya kanak-kanak, mereka boleh melihat secara dekat dua ekor gajah yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK), Lanchang dan menyertai aktiviti di zoo haiwan jinak.

Warga Pantai Timur turut dijemput ke Forum Perdana: Hijrah Membina Masyarakat MADANI pada 8.30 malam Jumaat yang menampilkan Ustaz Zakaria Othman sebagai moderator dan tiga agamawan iaitu Timbalan Mufti Negeri Pahang Datuk Badli Shah Alauddin, Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Prof Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail dan penceramah selebriti Ustaz Harryanto Rizal Rokman.

Bagi yang ingin berhibur, Konsert PATA TIMO turut diadakan pada 9 malam Ahad yang menghimpunkan barisan penyanyi terkenal seperti Siti Nordiana, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Aina Abdul dan Wany Hasrita.

Bagi memastikan kelancaran trafik, kerajaan negeri Pahang akan menyediakan bas ulang-alik percuma setiap 15 minit di Stadium Darul Makmur dan Serambi Teruntum.

Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi PACU dengan kerjasama strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan kerajaan Pahang itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.

Program MADANI Rakyat 2024 merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember tahun lepas.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan