POLITIK

FADHLINA TULIS WARKAH UNTUK WARGA SUNGAI BAKAP, RAYU UNDI CALON PH

05/07/2024 12:00 AM

NIBONG TEBAL, 4 Julai (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek merayu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu Dr Joohari Ariffin untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat pada pengundian Sabtu ini.

Menerusi Warkah Buat Warga Sungai Bakap yang dikongsikan di Facebook beliau malam ini, Ketua Wanita PKR dan Ahli Parlimen Nibong tebal berkata orang sebaik dan cerdik seperti Joohari wajar mendapat tempat untuk menjadi pemimpin di Pulau Pinang.

"Mana mungkin seorang guru membawa watak kayangan ketika seharian bergelumang 'memanusiakan' dan 'menginsankan' insan-insan untuk terus menjadi warga yang santun dan cerdas," katanya.

Fadhlina berkata beliau menghargai setiap komentar dan pandangan yang disampaikan penduduk kawasan itu sepanjang tempoh kempen PRK itu berlangsung bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 22 Jun lepas dan akan melabuhkan tirainya 11.59 malam esok.

"Tidak kira dari penduduk, jentera, pimpinan serta penjawat awam. Setiap aduan, permohonan serta jalinan dua hala antara rakyat dan wakil rakyat sememangnya sangat dinantikan. Para guru, jururawat, pasukan polis dan seluruh jajaran penjawat awam juga turut memberikan sisi pandang yang saya terima dengan hati terbuka.

"Pastinya tekad untuk berkhidmat dengan lebih baik ini dapat dijayakan dengan mempunyai rakan sepimpinan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan mempunyai akses untuk agensi dan pelaksana dasar di peringkat negeri dan Persekutuan," katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa tidak akan ada sesiapa pun yang akan dikesampingkan dan kesejahteraan semua rakyat sentiasa menjadi keutamaannya, khususnya di Nibong Tebal

Mengakhiri warkah tersebut, Fadhlina menitipkan serangkap pantun sekali lagi menyeru pengundi Sungai Bakap supaya mengundi bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu pada Sabtu ini.

 

Timang tinggi-tinggi,

Sampai cucur atap,

Undilah Cikgu Joohari,

Demi kesejahteraan Sungai Bakap.

 

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan