EKONOMI

BAKAL DISENARAI DI PASARAN ACE, CREST GROUP SASAR KUMPUL RM45.75 JUTA DARIPADA IPO

18/09/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Crest Group Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia menyasarkan untuk mengumpul RM45.75 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO).

IPO itu dijadualkan disenaraikan pada 9 Okt, 2024 pada harga 35 sen sesaham.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan kumpulan Lim Siong Wai berkata sebanyak  RM15.76 juta daripada hasil yang diperoleh akan diperuntukkan untuk membuka ibu pejabat baharu syarikat itu di Selangor.

“Ketika ini, kami mempunyai dua pejabat di Puchong dan Subang Jaya. Rancangan kami adalah untuk menyatukan pejabat ini menjadi ibu pejabat baharu kami di Selangor.

"Langkah ini akan membantu menyelaraskan operasi kami, dan dalam jangka panjang, ia akan mengurangkan kos operasi dan ini menjadikan ia lebih cekap," katanya pada sidang media sempena pelancaran prospektus IPO tersebut hari ini.

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 130.71 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 103.890 juta saham biasa sedia ada.

Daripada 130.71 juta saham yang diterbitkan, 43.28 juta akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, dan 12.98 juta saham akan disediakan kepada pengarah dan pekerja yang layak.

Sementara itu, baki 74.44 juta saham akan disediakan kepada pelabur bumiputera yang dikenal pasti dan diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Malaysia, melalui tawaran saham persendirian.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Crest mengunjurkan permodalan pasarannya akan mencapai RM302.96 juta semasa penyenaraian.

Crest merupakan pembekal peralatan pemeriksaan dan kawalan kualiti industri semikonduktor serta elektronik dan elektrik (E&E).

Ia kemudian berkembang dan menawarkan penyelesaian pengimejan, analisis, dan ujian yang komprehensif dengan jangkauan industri yang lebih luas merangkumi sektor sains hayat, penjagaan kesihatan, automotif, penerbangan dan minyak dan gas.

Perkhidmatan Crest terdiri daripada perundingan pra jualan, penyesuaian, pemasangan, pentauliahan dan latihan pengguna kepada sokongan selepas jualan yang komprehensif.

Lim berkata syarikat itu juga akan memperuntukkan RM14.52 juta untuk mengembangkan operasinya ke pasaran utama dengan membuka pejabat baharu di Ho Chi Minh City, Vietnam, serta Chengdu dan Shenzhen di China.

Susulan pengembangan itu, Crest akan meningkatkan bilangan pekerjanya bagi menampung pertumbuhan masa depan dengan menambah kakitangan bahagian jualan di pejabat baharunya di Vietnam, China dan pejabat yang sedang beroperasi di Thailand.

“Akhir sekali, kami juga memperuntukkan RM5.87 juta lagi untuk pembelian peralatan demonstrasi tambahan, dan RM3.60 juta akan digunakan untuk mengembangkan pasukan sokongan teknikal serta penyelenggaraan kami bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan sedia ada dan akan datang,” katanya.

Bahagian terbitan awam IPO kini dibuka untuk langganan, dengan permohonan ditutup pada 25 Sept 2024, jam 5:00 petang.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan