AM

POKOK TUMBANG HEMPAP KERETA DAN MOTOSIKAL DI KAMUNTING, DUA PARAH

18/09/2024 07:01 PM

IPOH, 18 Sept (Bernama) -- Dua cedera parah apabila sebuah kereta dan motosikal dihempap pokok tumbang di Jalan Kamunting berhampiran Taman Glen View dekat Kamunting, hari ini. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan berkaitan kejadian itu pada 12.53 tengah hari tadi.

Beliau berkata pokok itu menghempap kereta Perodua Alza dan motosikal Yamaha Y15 yang melalui kawasan kejadian. 

"Penunggang motosikal iaitu lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dan dipercayai anak perempuannya (berusia anggaran 15 tahun) mengalami kecederaan parah dan tidak sedarkan diri ketika bomba tiba," katanya dalam kenyataan.

Sabarodzi berkata dua daripada lima wanita yang menaiki Perodua Alza cedera ringan manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan. Kesemua mereka berumur 16 hingga 35 tahun.

Beliau memaklumkan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok sedang dilakukan oleh anggota bomba dan kesemua mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan