AM

SESB BAKAL LAKSANA PEMASANGAN METER PINTAR

18/09/2024 08:30 PM

KOTA KINABALU, 18 Sept (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan projek pemasangan meter pintar menerusi dua fasa dalam usaha menaik taraf kualiti perkhidmatan bekalan elektrik di negeri itu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Yaakob Jaafar.

Beliau berkata projek meter pintar itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pemasangan fasa satu sebanyak 6,497 unit melibatkan pengguna daripada kategori Pengguna Kuasa Tinggi dan pemegang akaun Feed-i-Tariff (FIT).

“Sebanyak 60 unit akan dipasang dalam tempoh dua bulan percubaan ini menyasarkan pengguna yang telah dipilih untuk memastikan sistem dan operasi pengebilan lancar, manakala baki 6,437 unit akan dilaksanakan sebaik sahaja fasa percubaan mencapai objektif pelaksanaan projek ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

 Beliau berkata tempoh percubaan selama dua bulan itu akan bermula bulan depan dan projek berkenaan akan dilaksanakan tahun depan dengan menyasarkan pengguna domestik di bandar raya Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan selari dengan tema ‘KK Smart City & WP Labuan Smart Island’.

Menerusi penggunaan meter pintar itu katanya pengguna dapat merancang jumlah atau had penggunaan elektrik bulanan dan akan menerima notifikasi apabila jumlah bil sasaran bulanan telah mencapai had yang ditetapkan.

“Ciri-ciri baharu ini adalah bertepatan dan bersesuaian dengan usaha SESB mendukung dan merealisasikan hasrat kerajaan memberikan manfaat kepada rakyat dengan memperkasakan bidang ekonomi digital,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan