DUNIA

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERJEJAS DALAM INSIDEN LETUPAN ALAT KELUI DI LUBNAN -- WISMA PUTRA

19/09/2024 09:00 AM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Luar sedang memantau situasi di Lubnan susulan kejadian letupan alat kelui yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas atau terlibat dalam insiden itu.

“Nasihat kepada rakyat Malaysia di Lubnan: Rakyat Malaysia disarankan agar berhati-hati, mengelak daripada mengunjungi bahagian selatan Lubnan dan mendapatkan maklumat terkini melalui sumber berita yang boleh dipercayai,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra juga memaklumkan bahawa Batalion Malaysia (MALBATT 850) yang ditempatkan di Lubnan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas oleh insiden berkenaan.

Rakyat Malaysia di Lubnan yang belum mendaftar dengan pihak kedutaan disarankan untuk berbuat demikian melalui pautan https://ekonsular.kln.gov.my/.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsul agar menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beirut. Kedutaan terletak di Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lubnan.

Bagi bantuan segera, orang ramai boleh menghubungi melalui telefon di +961 71 380 063 atau +961 7677 2527, atau melalui e-mel di mwbeirut@kln.gov.my.

Kementerian turut menyatakan bahawa pihaknya akan terus memberikan maklumat terkini bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia di Lubnan.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan