DUNIA

KETUA PBB BIMBANG LETUPAN PERANTI KOMUNIKASI DI LUBNAN, SYRIA: JURUCAKAP

19/09/2024 11:30 AM

NEW YORK, 19 Sept (Bernama-Xinhua) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres amat bimbang dengan laporan bahawa sejumlah besar peranti komunikasi meletup di seluruh Lubnan dan di Syria pada Selasa dan Rabu, lapor Xinhua.

"Setiausaha Agung amat bimbang dengan laporan bahawa sejumlah besar peranti komunikasi meletup di seluruh Lubnan serta di Syria, pada 17 dan 18 September, membunuh sekurang-kurangnya sebelas orang, termasuk kanak-kanak, dan mencederakan ribuan yang lain," kata Stephane Dujarric, jurucakap setiausaha agung PBB, dalam satu kenyataan.

Dujarric berkata ketua PBB menyeru semua pihak berkepentingan untuk bertindak dengan tahap kekangan maksimum bagi mengelakkan sebarang peningkatan lanjut, serta menggesa pihak yang terlibat untuk melaksanakan semula sepenuhnya Resolusi Majlis Keselamatan 1701 (2006) dan segera kembali kepada pemberhentian permusuhan untuk memulihkan kestabilan.

"PBB menyokong segala usaha diplomatik dan politik untuk menamatkan keganasan yang mengancam meragut keamanan serantau," kata jurucakap itu.

Pegawai Lubnan melaporkan bahawa letupan yang menyasarkan alat kelui dan radio mudah alih membunuh sekurang-kurangnya 26 orang, termasuk dua kanak-kanak serta mencederakan lebih 3,200 yang lain di seluruh Lubnan pada Selasa dan Rabu.

Di negara jiran Lubnan, Syria, 14 pejuang Hizbullah cedera apabila peranti komunikasi mereka meletup di ibu negara, Damsyik, menurut Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria, sebuah badan pemantau perang.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan