AM

PEKA KEADAAN CUACA SEBELUM LAKUKAN AKTIVITI DI LAUT - MARITIM

19/09/2024 12:01 PM

ALOR SETAR, 19 Sept (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menasihatkan orang ramai serta komuniti maritim untuk lebih peka dengan keadaan cuaca sebelum melakukan sebarang aktiviti di sekitar laut dan pantai.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata komuniti maritim terutamanya nelayan bot kecil serta pengusaha bot pelancong dan penumpang perlu mengambil berat keadaan cuaca dan laut bagi memastikan keselamatan terjamin.

“Ini bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berikutan ribut dijangka melanda kawasan perairan di utara sepanjang minggu ini. Angin kencang dan laut bergelora amat bahaya kepada semua aktiviti rekreasi di laut dan pantai.

“Maritim Malaysia menggesa pihak yang ingin melakukan aktiviti di laut untuk memakai jaket keselamatan serta membawa ‘personal locator beacon’ (PLB) bagi memudahkan dan mempercepat bantuan mencari dan menyelamat di laut jika ada kecemasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka juga perlu memastikan bot yang digunakan dalam keadaan baik sebelum melakukan sebarang aktiviti.

“Pengusaha bot pelancong juga diingatkan supaya mematuhi semua peraturan dan undang-undang di laut yang telah ditetapkan seperti memastikan kapasiti maksimum penumpang dan pemakaian serta penyediaan jaket keselamatan mencukupi.

“Orang ramai boleh melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di 04-7310579,” katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: Maritim Malaysia, cuaca, laut, aktiviti


SIAN SMS AYU

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan