AM

PGA TUMPASKAN PENYELUDUPAN BAHAN API, DAGING BABI BERNILAI LEBIH RM180,000

19/09/2024 12:09 PM

KOTA BHARU, 19 Sept (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan sindiket penyeludupan daging khinzir, minyak petrol dan diesel yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Taring Wawasan di Tumpat dan Pasir Mas semalam.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan pertama oleh Batalion 9 (PGA9) pada 11 malam melibatkan minyak petrol dan diesel yang dikesan dekat pangkalan haram Yasin, Rantau Panjang di Pasir Mas.

Beliau berkata dalam kejadian itu, anggota PGA9 yang membuat rondaan ternampak sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah pangkalan haram itu sebelum melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PGA9.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu menemukan sebanyak 400 liter minyak petrol dan 180 liter diesel di dalam beberapa tong yang disyaki untuk diseludup masuk ke Thailand. 

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan ialah RM31,464 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Hasil rampasan diserahkan ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata dalam kejadian pukul 12 tengah malam hari yang sama, PGA9 turut menahan seorang lelaki dan merampas 4,000 kilogram daging babi dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM152,000 di Kampung Mentua, Tumpat.

Beliau berkata rampasan dibuat apabila pasukannya menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan terhadap lori jenis Isuzu mendapati terdapat daging babi dipercayai diseludup masuk dari Thailand tanpa dokumen yang sah. 

“Suspek seorang lelaki berumur 30-an dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup daging haiwan itu ke pasaran tempatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

Beliau berkata suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan