DUNIA

MALAYSIA SAMBUT BAIK USAHA PBB LAKSANA KEPUTUSAN ICJ TAMAT PENDUDUKAN HARAM ISRAEL

19/09/2024 12:14 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menamatkan pendudukan haram Israel ke atas Palestin.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata Malaysia dan 123 Negara Anggota PBB mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bertajuk "Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin (OPT), termasuk Baitulmaqdis Timur, serta ketidaksahan kehadiran berterusan Israel di OPT".

Kementerian itu berkata resolusi yang diterima pakai pada Sesi Tergempar  Khas ke-10, UNGA pada 17 September bertujuan untuk melaksanakan keputusan ICJ bertarikh 19 Julai 2024.

Ia antara lain, menekankan tanggungjawab bersama dan obligasi undang-undang semua negara dan Pertubuhan Antarabangsa untuk menamatkan pendudukan haram Israel di Palestin, dan menyeru keadilan untuk rakyat Palestin, menurut kenyataan itu.

"Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan Resolusi itu dengan kadar segera dan secara penuh, demi hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah dan mencapai pembangunan sosioekonomi.

"Resolusi itu mengesahkan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin yang telah lama berlarutan," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar Negeri berkata Malaysia berpegang teguh kepada prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat Negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan