AM

BANJIR: PADI HAMPIR DITUAI TENGGELAM, PETANI DI LUBUK BATU RAYU BANTUAN

19/09/2024 02:18 PM

JITRA, 19 Sept (Bernama) -- Petani di kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lubuk Batu dekat sini terpaksa menanggung kerugian lebih RM2 juta apabila hampir keseluruhan kawasan sawah seluas 232 hektar tenggelam akibat banjir sejak Isnin lepas.

Seorang petani Megat Asmadi Megat Saidin, 52, dari Kampung Panchor dekat sini berkata kesemua sawahnya seluas hampir 19 hektar ditenggelami air sekali gus menyebabkan padi yang sudah boleh dituai rosak sepenuhnya.

"Kerugian saya sangat banyak, tak dapat nak disebut berapa jumlahnya. Serelung (kira-kira 0.29 hektar) biasanya dapat 1.5 tan metrik (padi). Harga setan metrik padi RM1,800.

"Saya tanggung juga kerugian dari segi kos membajak dan benih padi bukan saja untuk bendang saya, termasuk bendang petani lain yang mengupah saya membajak dan membekalkan benih untuk mereka. Saya dahulukan modal, mereka sepatutnya bayar lepas musim menuai," katanya kepada pemberita di PPK Lubuk Batu dekat sini hari ini.

Megat Asmadi berkata banjir kali ini yang terburuk dalam tempoh 14 tahun selepas kali terakhir kawasan berkenaan dilanda banjir besar pada 2010.

"Kalau tak dapat bantuan segera, saya memang dah tak mampu nak mulakan semula tanaman padi selepas banjir. Bukan saya saja, rakan-rakan petani yang lain pun memang perlukan bantuan modal kerana telah hilang hasil sepenuhnya untuk musim ini," katanya.

Abdul Jalil Abdullah, 59, yang juga petani dari Kampung Padang Luar dekat sini pula berkata dia menganggarkan kerugian hasil dialaminya melebihi RM5,000 selepas 0.43 hektar sawahnya turut ditenggelami banjir.

"Dah tempah mesin padi masuk sebab dah boleh tuai dah padi. Selain hasil padi, kos benih, membajak, tenaga buruh semua nak kena tanggung," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PPK Lubuk Batu Harun Ramli, 72, berkata pihaknya sangat berharap kerajaan MADANI dapat segera menyediakan peruntukan bagi membantu meringankan beban 93 pesawah yang terjejas di kawasan berkenaan.

"Padi sepatutnya dah boleh tuai dalam seminggu ini tapi semuanya dah rosak. Bila tenggelam dalam air, selut melekat pada buah padi, memang dah tak boleh buat apa. Kerugian kali ini sangat besar, lebih kurang macam banjir 2010," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut merayu agar kerajaan dapat mempercepat bantuan sementara menunggu waktu menuai padi sebanyak RM600 kepada semua petani untuk musim ini.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan