EKONOMI

AIRASIA, AIRBUS JALIN KERJASAMA BAGI PENERBANGAN MAMPAN ASEAN

19/09/2024 02:50 PM

Daripada Soraya Jamal

BALI, 19 Sept (Bernama) -- AirAsia pada Khamis mengumumkan kerjasama jangka panjang dengan pengeluar pesawat Eropah, Airbus bagi meningkatkan penyelidikan bagi inisiatif penerbangan mampan untuk mengurangkan pelepasan karbon di rantau ASEAN.

Di bawah memorandum persefahaman (MoU) membabitkan bahagian kemampanan masing-masing, AirAsia dan Airbus akan bekerjasama meneroka pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) secara berpusat dengan menggunakan bahan mentah dan teknologi alternatif di Asia Tenggara.

Kerjasama berasaskan penyelidikan itu dirangka bagi mengenal pasti peluang untuk menyokong pembangunan komersial projek-projek SAM yang berpotensi selain dapat mengembangkan bekalannya di rantau ini.

Pada masa sama, MoU berkenaan menggariskan usaha meninjau pendekatan maju untuk menambah baik pengurusan trafik udara (ATM)  bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida, sekali gus memanfaatkan program kecekapan bahan api AirAsia dan kepakaran Airbus dalam bidang aeronautik, ruang angkasa dan perkhidmatan berkaitan.

“AirAsia akan menjadi rakan penting Airbus di ASEAN untuk menguji kebolehlaksanaan pengeluaran SAF menggunakan bahan mentah dan teknologi alternatif selain inisiatif ATM yang disokong oleh pasukan inovasi Airbus,” kata Ketua Pegawai Kelestarian Capital A Bhd Yap Mun Ching dalam satu kenyataan di sini.

Selain daripada peningkatan kecekapan dan menggunapakai SAF, beliau berkata langkah penting bagi AirAsia untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 adalah dengan meningkatkan barisan kumpulan pesawat syarikat penerbangan itu dengan model paling cekap tenaga.

Pada Jun lepas, AirAsia menerima pesawat A321neo serba baharu pertamanya sejak pandemik COVID-19.

Syarikat penerbangan berkenaan akan menerima lima lagi pesawat pada suku keempat tahun ini bagi kegunaan perkhidmatan di Malaysia dan Thailand.

Kesemua penghantaran pesawat Airbus bagi AirAsia bermula 2024 akan menggunakan campuran bahan api yang mengandungi lima peratus SAF.

AirAsia pada masa ini mempunyai pesanan bagi 361 unit pesawat model A321 untuk menampung pertumbuhan kumpulan pesawatnya serta bagi menggantikan pesawat sedia ada.

“Menjelang 2035, usaha penambahbaikan pesawat ini dijangka menyumbang sehingga 10 peratus dalam pengurangan pelepasan karbon dioksida berbanding asas bagi 2019.

“Kecekapan operasi dan SAF pula dijangka menyumbang pengurangan karbon sebanyak 15 peratus lagi ketika kumpulan penerbangan itu berusaha mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan