AM

PENDUDUK KAMPUNG KERINTING MOHON JAMBATAN GANTUNG RENTAS SUNGAI KETIL DINAIK TARAF

19/09/2024 05:19 PM

GUA MUSANG, 19 Sept (Bernama) -- Lebih 1,000 penduduk Kampung Kerinting di sini memohon agar jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberangi Sungai Ketil dibaik pulih dengan segera kerana mengalami kerosakan sehingga terjadi beberapa kemalangan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Kundur Wan Rohazaki Wan Zawawi, 48, berkata jambatan sepanjang 200 meter yang diperbuat daripada besi itu mula menjadi laluan alternatif majoriti penunggang motosikal selepas kerja-kerja pembinaan Jambatan Kampung Kerinting yang baharu dimulakan April lepas.

Beliau berkata jambatan yang menghubungkan Kampung Kerinting dan Bandar Lama itu menjadi jalan pintas bagi penduduk dari 10 kampung termasuk Kampung Kundur dan Cabang Empat untuk melakukan pelbagai urusan harian. 

“Struktur lantai besi yang sudah tidak seimbang dan banyak dawai pagar rosak telah menyebabkan berlaku beberapa kemalangan di atas jambatan ini sejak Jun.

“Pada minggu lepas, seorang murid sekolah yang membonceng motosikal mengalami kecederaan sehingga patah jari kelingking sebelah kiri selepas terkena dawai besi yang rosak,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Penunggang motosikal Wong Shoou Yih, 54, berkata pengguna jambatan itu turut diancam dengan kehadiran haiwan liar seperti kera dan beruk yang bergayut serta menghuni di atas pokok-pokok yang terdapat di sekeliling kawasan terbabit.  

“Saya mohon pihak berwajib agar melakukan penambahbaikan yang sewajarnya untuk pengguna jambatan ini kerana ia turut menjadi laluan pilihan kumpulan konvoi bermotosikal ke Cameron Highlands kerana aplikasi Waze juga menunjukkan laluan ini sebagai jalan menuju ke tempat peranginan itu,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata perbincangan bersama agensi berkaitan akan dilakukan bagi mengatasi permasalahan itu dengan segera. 

“Jambatan gantung ini dibina oleh pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) kira-kira lima tahun lepas selepas jambatan gantung asal runtuh dihanyutkan banjir besar pada 2014.

“Kita ambil maklum tentang isu yang melibatkan keselamatan pengguna dan akan melaksanakan langkah segera untuk membaiki atau menaik taraf jambatan gantung ini kerana telah banyak berlaku insiden terutamanya kemalangan kecil di atas jambatan berkenaan,” katanya.

Pada 23 April lepas, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan jalan alternatif dari Kampung Kundur ke Bandar Lama Gua Musang (laluan D238) ditutup hingga 4 Nov 2025 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan Jambatan Kampung Kerinting yang baharu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan