AM

PEMBINAAN STESEN PEMANCAR MYTV GUNUNG TELAPAK BURUK MANFAATKAN 1.2 JUTA PENDUDUK

19/09/2024 06:12 PM

JELEBU, 19 Sept (Bernama) -- Pembinaan stesen pemancar di Gunung Telapak Buruk, Jelebu yang didirikan pada 2023 telah memanfaatkan 1.2 juta penduduk di sekitar Negeri Sembilan untuk mengakses siaran digital secara percuma.

Ketua Pegawai Operasi MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) Azlina Mohd Yusof berkata stesen pemancar itu yang beroperasi sejak 23 Sept tahun lepas, membolehkan penduduk di Negeri Sembilan meliputi kawasan Port Dickson, Rembau, Kuala Pilah, Seremban, Jempol, Simpang Pertang dan Kuala Klawang di Jelebu menikmati liputan siaran itu.

Selain kawasan berkenaan, Azlina berkata penduduk di sekitar Bera di Pahang dan Sepang di Selangor juga dapat mengakses liputan siaran berkenaan melalui pemancar Gunung Telapak Buruk. 

“Penduduk dapat menonton siaran digital televisyen secara percuma dengan menyambung televisyen (TV) mereka dengan antena luar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau ditemui semasa lawatan ke Stesen Pemancar Gunung Telapak Buruk, yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan Md Tahir Musa serta Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM) Negeri Sembilan/Melaka Zahariman Muhammad.

Lawatan kerja itu merupakan kolaborasi strategik antara pihak MCMC, MYTV dan TM bagi meninjau prestasi semasa liputan digital TV MYTV dalam meningkatkan kesalinghubungan digital berkualiti dan mampan kepada masyarakat setempat.

Azlina berkata stesen pemancar berkenaan merupakan yang kedua di negeri itu selepas Stesen Pemancar Bukit Tampin dibina pada April 2017.

Setakat ini, terdapat 14 siaran TV dan 17 siaran radio digital menerusi saluran MYTV untuk tontonan rakyat di seluruh negara dan jumlah itu dijangka terus bertambah dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Klawang Datuk Bakri Sawir berkata liputan MYTV secara percuma itu memberi manfaat kepada golongan B40 khususnya di luar bandar bagi mendapatkan maklumat dan informasi yang disalurkan oleh kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ulu Jelebu Abdul Rani Rashid, 57, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana menyediakan perkhidmatan percuma kepada penduduk kampung di sini.

Suri rumah Norhayati Johari, 53, berkata siaran tersedia dalam MYTV mencukupi untuk tontonan sekeluarga bersama lima anaknya tanpa perlu membayar komitmen bulanan.

“Apabila ada siaran percuma ini dapatlah saya menonton semula rancangan tanpa perlu memikirkan kos setiap bulan,” katanya yang sebelum ini menggunakan siaran berbayar.

Setakat ini, lebih 6,000 dekoder MYTV telah diedarkan di Negeri Sembilan manakala lebih 20,000 akan diedarkan secara berterusan hingga bulan depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan