AM

MAHA 2024 BERJAYA CAPAI SASARAN 3 JUTA PENGUNJUNG SETAKAT 18 SEPT

19/09/2024 05:45 PM

SERDANG, 19 Sept (Bernama) -- Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 berjaya mencapai sasaran seperti yang ditetapkan iaitu tiga juta orang setakat 18 Sept, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata ia mencerminkan sokongan padu daripada masyarakat  bagi program sebegini sekali gus menyaksikan penyerahan sebuah motosikal kepada seorang pengunjung bertuah (bagi pengunjung ketiga juta) sebagai tanda penghargaan.

"Saya jangkakan jumlah pengunjung ke MAHA kali ini akan mencecah lima juta orang pada hujung minggu ini. 

"Bagi menghargai sokongan kuat daripada rakyat Malaysia ke atas MAHA 2024 ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menghadiahkan sebuah kereta Perodua AXIA kepada pengunjung yang kelima juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata sasaran pengunjung sepanjang 12 hari penganjuran MAHA kali ini adalah seramai tiga juta orang, iaitu ia mampu menjana nilai jualan langsung mencapai RM40 juta serta nilai potensi pembiayaan kewangan sebanyak RM600 juta.

Beliau berkata berdasarkan laporan harian MAHA, dijangkakan jumlah pengunjung akan naik mendadak pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini, justeru beliau telah mengarahkan KPKM untuk menggunakan semua aset bas, van, trem dan bugi yang ada di bawah agensi untuk membantu melancarkan perjalanan orang ramai.

Selain kejayaan mencapai sasaran tiga juta pengunjung, beliau berkata jumlah jualan benih dan anak pokok daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga telah melebihi daripada jumlah jualan MAHA edisi lepas. 

"Ini menunjukkan kecenderungan dan minat orang ramai terhadap sektor pertanian semakin meningkat," katanya.

Meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA edisi 2024 akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan penyertaan daripada pelbagai negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan