AM

BANJIR: LEBIH 5,000 HEKTAR SAWAH DALAM KAWASAN MADA TERJEJAS

19/09/2024 07:17 PM

ALOR SETAR, 19 Sept (Bernama) -- Banjir yang melanda Kedah dan Perlis sejak beberapa hari lepas menyebabkan sawah seluas 5,388.63 hektar dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terjejas.

MADA dalam kenyataannya memaklumkan berdasarkan Laporan Pemantauan Padi Tenggelam, kawasan terkesan ialah di Wilayah I Perlis seluas 20 hektar, Wilayah II Jitra (1,525.6 hektar), Wilayah III Pendang (2,206.7 hektar) dan Wilayah IV Kota Sarang Semut (1,636.33 hektar).

“Pihak MADA akan mengenal pasti kerosakan tanaman padi di peringkat kawasan melalui bancian yang akan dijalankan selepas air surut,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan status kemajuan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda bagi Musim 1/2024 hingga semalam merekodkan sebanyak 93.6 peratus kawasan tanaman padi telah berbunga, padi masak (68.3 peratus) dan penuaian (26.6 peratus) dan dijangka terjejas disebabkan keadaan cuaca semasa.

Dalam pada itu, MADA memaklumkan status turunan hujan di Kawasan Muda hingga semalam mencatatkan jumlah kumulatif 1,500 milimeter (mm) dan pada 16 Sept lepas kawasan itu telah menerima turunan hujan yang tinggi iaitu 109 mm dalam tempoh sehari.

Menurut kenyataan itu kebanyakan stesen juga mencatatkan bacaan melebihi 100mm menyebabkan paras air sungai utama meningkat dan pihak MADA telah mengambil tindakan awal menyalurkan lebihan air melalui infrastruktur pengairan serta saliran sedia ada.

"Kesemua lapan pintu Tandop Pasang Surut Sungai Kedah, Ampang Jajar dibuka dan hanya ditutup apabila berlaku kenaikan aras laut.

"Tinjauan MADA mendapati operasi saliran air ke laut lambat disebabkan pertembungan dengan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku dari 18 hingga 21 Sept ini dan berlaku limpahan air di kawasan daratan serta berlakunya banjir," menurut kenyataan itu. 

Menurut MADA jumlah takungan di ketiga-tiga empangan di negeri ini juga meningkat dengan kedudukan semasa paras Empangan Pedu ialah  37.66 peratus, Empangan Muda (23.44 peratus) dan Empangan Ahning (80.13 peratus).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan