AM

MECHAMATO DUTA JENAMA TERBAHARU FARM FRESH

19/09/2024 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Ikon animasi negara, Mechamato kini merupakan duta jenama terbaharu syarikat pengeluar tenusu terbesar di Malaysia, Farm Fresh.

Dalam kenyataannya hari ini MONSTA memaklumkan kolaborasi itu diumumkan sempena Hari Malaysia pada 16 Sept lepas dan ia melibatkan12 produk minuman susu Farm Fresh dengan gambar Mechamato bagi menarik minat kanak-kanak dan ibu bapa. 

“Menerusi slogan  ‘Segar dan Sedap, Kaaaan!’ kempen ini merupakan satu inisiatif bagi mempromosikan gaya hidup lebih sihat dengan minuman lebih berkualiti.

“Kesemua 12 jenis susu produk keluaran Farm Fresh dengan edisi istimewa Mechamato tersebut kini boleh didapati di pasaran,” menurut kenyataan itu.

Menurut MONSTA pelbagai aktiviti menarik juga bakal dianjurkan bagi memeriahkan lagi kolaborasi antara dua jenama kesayangan Malaysia itu. 

Menurut kenyataan itu orang ramai boleh melayari laman media sosial rasmi MONSTA dan Farm Fresh untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. 

Sementara itu, Pengarah Media MONSTA Faiz Zainal Aabidin dalam kenyataan sama berkata pihaknya berbangga kerana berjaya membawa kolaborasi yang ikonik antara dua jenama terkenal Malaysia.

“Farm Fresh antara jenama tempatan yang dekat dengan hati rakyat Malaysia.

“Kami berharap dengan mengetengahkan adiwira Mechamato, kolaborasi ini dapat memupuk daya pelindung masyarakat dari segala segi dalam memastikan kesihatan kanak-kanak yang merupakan keutamaan syarikat ini,” katanya. 

MONSTA adalah syarikat hiburan yang pengalaman dan terkenal dengan penghasilan IP watak-watak fiksyen popular seperti BoBoiBoy, Papa Pipi dan Fly With Yaya selain Mechamato.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan