AM

KERAJAAN SEDIA TELITI TAMBAHAN PERUNTUKAN BAWA PULANG BAHAN SEJARAH

19/09/2024 09:55 PM

SHAH ALAM, 19 Sept (Bernama) -- Kerajaan sedia meneliti tambahan peruntukan bagi membawa pulang dan memperoleh semula artifak serta dokumen penting berkaitan Malaysia yang berada di luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata usaha membawa pulang bahan sejarah itu mungkin menelan belanja yang besar dan setakat ini beliau belum mendapatkan jumlah peruntukan yang diperlukan.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang untuk membawa perkara berkenaan ke mesyuarat Kabinet minggu depan.

“Sebenarnya beberapa usaha telah dibuat untuk membawa balik bahan-bahan sejarah dari luar negara, namun peruntukan terlalu sedikit.

“Apa yang diperlukan oleh Arkib Negara Malaysia ialah peruntukan berdasarkan nilai bahan-bahan sejarah yang masih lagi tertinggal atau disimpan sama ada di pejabat bekas penjajah, muzium atau tempat lain yang dipegang oleh individu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 ‘Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara Bangsa’ di sebuah hotel di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata bahan sejarah itu bukan sahaja dicuri tetapi ada yang dirampas dan dibawa sebagai dokumen sulit oleh pegawai-pegawai berkenaan (pada zaman penjajah) secara peribadi atau rasmi. 

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya berkata fakta sejarah perlu dipertahankan, dihayati dan tidak sewenang-wenangnya dimanipulasi sehingga mencetuskan perbalahan akibat perbezaan ideologi yang menyentuh isu-isu sensitif termasuk perkauman, institusi diraja dan agama (3R).

“Ia harus objektif, sejarah adalah fakta, bukannya memanipulasi kepada fakta. Contohnya, sikap perkauman dan politik yang berlebihan mewujudkan bibit-bibit kebencian yang melampau hingga melupakan fakta sejarah yang sebenarnya harus dibendung dengan segera.

“Justeru, sejarah harus diadaptasi dan dimurnikan dalam arus peredaran semasa, dilayari dengan cara-cara berbeza mengikut perspektif yang lebih objektif tidak kepada kumpulan-kumpulan kecil,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan penubuhan Majlis Sejarawan Negara yang diharapkan akan memainkan peranan utama menangani isu penyelewengan fakta sejarah, yang selama ini menimbulkan perspektif negatif dan berisiko menggugat kestabilan serta keharmonian perpaduan rakyat.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan majlis itu diangkat sebagai kuasa paling unggul untuk menentukan sejarah negara mesti ditulis berdasarkan fakta dengan mengetepikan sebarang perbezaan berkaitan ideologi politik.

-- BERNAMA

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan