AM

PINDAAN ORDINAN BURUH SARAWAK DIBENTANG DI PARLIMEN HUJUNG TAHUN INI

19/09/2024 11:26 PM

KUCHING, 19 Sept (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) akan dibentang pada persidangan Parlimen hujung tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata setelah lebih 20 tahun, buat pertama kalinya Ordinan Buruh Sarawak dipinda untuk memberikan hak dan perlindungan yang sama kepada penduduk Bumi Kenyalang dengan pekerja di Semenanjung.

"Contohnya cuti paterniti sekarang tidak ada, jadi kita akan berikan tujuh hari cuti paterniti selaras dengan Akta Kerja Semenanjung dan contoh lain ialah peruntukan seperti antidiskriminasi di tempat kerja.

"Pagi tadi saya berjumpa dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan beliau adalah antara individu yang amat mengambil berat (dalam isu) membentang dan meluluskan RUU Ordinan Buruh Sarawak di Parlimen hujung tahun ini," katanya.

Bercakap kepada media selepas majlis menandatangani Perjanjian Kolektif Persatuan Bank-Bank Komersial Sarawak dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Sarawak 2024-2026 di sini hari ini, Sim berkata antara perkara yang akan dimasukkan dalam pindaan ordinan itu ialah pelaporan gangguan seksual, pengaturan kerja fleksibel serta aturan kerja jarak jauh. 

"Peruntukan ini tidak ada dalam Ordinan Buruh Sarawak tetapi ada dalam Akta Kerja untuk Semenanjung dan dengan pindaan ini, hak pekerja di Sarawak akan setara dengan hak pekerja di tempat lain di Malaysia," katanya.

Beliau berkata selain itu, pihaknya akan membentangkan RUU Pekerja Gig untuk memberi perlindungan terbaik kepada pekerja dalam sektor berkenaan yang tidak termaktub dalam Akta Pekerja.

Sim berkata RUU itu akan mengandungi empat perkara iaitu yang pertama, definisi pekerja gig dan keduanya ialah unsur seperti bayaran pampasan yang lebih munasabah.

"Ketiga ialah mekanisme untuk isu-isu kilanan ataupun grievance mechanism sebab sekarang pekerja terbabit tidak boleh pergi ke mahkamah buruh dan tidak boleh pergi ke mahkamah perusahaan.

“(Jadi) Perlu ada satu mekanisme untuk proses kilanan dan aduan kilanan manakala yang keempat ialah kita nak supaya ada pelindungan keselamatan sosial yang lebih mantap," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan