EKONOMI

CGS MY LANCAR PEMBIAYAAN MARGIN ESG GALAKKAN PELABURAN MAMPAN & BERTANGGUNGJAWAB

20/09/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) melancarkan Pembiayaan Margin Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Kemudahan Pembiayaan Margin-i ESG, dengan pembiayaan sehingga RM5 juta.

Kemudahan pinjaman itu bertujuan untuk menggalakkan pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) dalam pasaran tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Azizah Mohd Yatim berkata menerusi kemudahan pembiayaan tersebut,  CGS MY berharap ia dapat menambah baik akses runcit kepada lebih banyak saham ESG yang kebanyakannya diwakili syarikat permodalan sederhana hingga besar. 

“Sebagai institusi kewangan bersepadu yang terkemuka, kami mengambil pandangan jangka panjang untuk membiayai dan melabur bagi membantu merangsang pertumbuhan mampan dan masa depan Malaysia, sambil membenarkan pelanggan kami memanfaatkan peluang penciptaan kekayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemudahan ESG Margin Financing-i menawarkan pembiayaan minimum RM50,000 hingga maksimum RM5 juta dan akan tersedia kepada pelabur mulai hari ini (20 Sept).

Menurut semakan separuh tahunan terbaharu Bursa Malaysia, jumlah konstituen yang dinilai oleh FTSE4Good meningkat kepada 780 syarikat.

Ini termasuk konstituen yang layak untuk sama ada indeks konvensional atau indeks Syariah FTSE4Good Bursa Malaysia.

FTSE4Good menilai amalan ESG syarikat tersenarai awam.

Pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang tawaran Pembiayaan Margin/-i ESG MY boleh menghubungi talian khidmat pelanggan CGS MY di 03-2635 8686 dan/atau e-mel customerservice.my@cgsi.com.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan