DUNIA

EU UMUM DANA 10 BILION EURO UNTUK NEGARA TERJEJAS BANJIR

20/09/2024 02:32 PM

WARSAW, 20 Sept (Bernama-Xinhua) -- Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada Khamis mengumumkan bahawa negara-negara yang terjejas banjir akan mendapat akses kepada dana berjumlah 10 bilion euro (US$11 bilion) daripada Kesatuan Eropah (EU), lapor Xinhua.

Pengumuman itu dibuat dalam satu mesyuarat di Wroclaw yang turut dihadiri Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, Perdana Menteri Czech dan Slovakia, serta Canselor Austria.

Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu, von der Leyen memberi jaminan bahawa EU akan menyokong usaha pembinaan semula dalam tempoh beberapa bulan dan tahun akan datang.

Tusk baru-baru ini berjanji memberi peruntukan bagi usaha menyelamat dan membina semula kawasan-kawasan di Poland yang terjejas oleh banjir.

Poland dilanda banjir besar terutamanya di kawasan barat daya, dengan kawasan yang terjejas teruk iaitu Opole dan Lower Silesia.

Banjir itu meragut sekurang-kurangnya tujuh nyawa, kerosakan infrastruktur dan pemindahan penduduk.

Republik Czech, Slovakia, dan Austria juga terjejas akibat banjir ini.

-- BERNAMA-XINHUA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan