AM

POLIS TAHAN TUJUH REMAJA PEMBELA UMMAH GISBH

20/09/2024 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tujuh lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) bagi membantu siasatan kes pemerdagangan orang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata antara tujuh yang ditahan itu termasuk anak bekas pemimpin Al-Arqam Ashaari Mohammad serta anak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH.

Kesemua mereka yang berumur antara 32 hingga 35 tahun, merupakan kumpulan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH, ditahan di empat lokasi berasingan di dalam negara bermula malam tadi hingga awal pagi ini.

“Pasukan serbuan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuat tangkapan di empat lokasi yang bermula pada 11 malam semalam hingga 4.07 pagi tadi. Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 26 Sept.

“Soal siasat masih dijalankan dan kesemua suspek kini ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya ketika dihubungi hari ini.

RPU mendakwa mereka merupakan golongan belia dan remaja di bawah syarikat GISBH yang mempraktikkan Islam sebagai cara hidup dan bersilaturahim dengan seluruh lapisan masyarakat di dalam dan luar negara dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Dalam pada itu, Razarudin meminta bekas pengikut GISBH atau orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu pihak berkuasa dalam siasatan membabitkan rumah amal kendalian syarikat itu yang melakukan pengabaian, penganiayaan, penderaan dan salah laku seksual.

“Bekas pengikut GISBH yang pernah mempunyai pengalaman sama dan ada maklumat berkaitan pengabaian, penganiayaan, penderaan dan salah laku seksual di rumah amal itu juga diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Kita juga akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan aktiviti dan siasatan GISBH ini,” katanya.

Semalam, PDRM menahan 24 individu penting yang dikaitkan dengan GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu dalam tangkapan di Kedah dan ibu negara menerusi Op Global, menjadikan keseluruhan 31 individu telah direman setakat ini.

Minggu lepas, JSJ Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH menerusi Op Global dan berjaya menyelamatkan 392 kanak-kanak dan remaja berumur setahun hingga 17 tahun.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan