AM

APM PERAK PANTAU 110 LOKASI HOTSPOT BANJIR

20/09/2024 05:57 PM

IPOH, 20 Sept (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak secara konsisten memantau 110 lokasi ‘hotspot’ yang berkemungkinan dinaiki air sekiranya berlaku air pasang dan hujan lebat berterusan di negeri ini.

Pengarah APM Perak Kolonel (PA) Rohaizat Hadli berkata pihaknya melakukan pemantauan secara berkala menerusi kesemua pusat kawalan operasi daerah (PKOD) yang beroperasi 24 jam.

Beliau berkata lebih 1,000 anggota dan pegawai APM Perak bersedia untuk bertugas sekiranya berlaku bencana banjir.

"Kita juga telah mempersiap logistik sebagai contoh pacuan empat roda, lori dan ambulans pelbagai jenis, serta bot pelbagai jenis untuk kita gerakkan sekiranya berlaku hujan yang berterusan.

"Setakat ini tiada lagi PPS (pusat pemindahan sementara) yang dibuka walaupun ada hujan berterusan hampir dua jam, tetapi lebih kepada banjir kilat sebelum air yang naik surut seperti sedia kala," katanya ketika dihubungi hari ini.

Rohaizat berkata setakat ini keadaan di Perak masih terkawal dan pihaknya mengambil pendekatan memantau keadaan dan persisiran laut antaranya di Manjung, Kerian, Taiping, Larut Matang dan Selama serta perkampungan berhampiran pantai.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai untuk sentiasa peka terhadap keadaan cuaca semasa dengan melayari laman sesawang atau aplikasi agensi dan jabatan berkaitan.

"Orang ramai boleh tangguhkan seketika perancangan untuk berkelah atau berada di kawasan yang mungkin menyebabkan gangguan terhadap aktiviti mereka, elakkan daripada berada di kawasan pantai atau kawasan peranginan bagi tempoh ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga menjangkakan keadaan di daerah Hilir Perak akan beransur pulih daripada fenomena air pasang besar pada hari ini atau esok.

Terdahulu, beberapa kawasan dalam daerah Hilir Perak dilaporkan terjejas termasuk jalan utama dinaiki air akibat fenomena air pasang besar hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Hilir Perak Kapten (PA) Mohd Affindi Ishak berkata kawasan terlibat ialah Jalan Mak Intan, Kampung Esso, Jalan Maharajalela, Batu 2 1/2 Kampung Jeti Pak Ali, Lorong Kalat Lorong Pinang, Jalan Maharajalela dan Batu 5 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang.

Beliau berkata bagi jalan yang dinaiki air atau terputus pula membabitkan KM1, Jalan Maharajalela dekat Sungai Pak Kalong, Jalan Pasar, Selekoh Taisan Batu 5 dan Jambatan Batu 5.

"Setakat 7 pagi tadi, tinjauan mendapati aras ketinggian air ialah 0.28 meter (m) dengan lebih daripada 20 buah rumah terjejas," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bagan Datuk Kapten (PA) Mohd Fazly Mohamad Zawawi memaklumkan sebuah rumah di Kampung Sungai Dulang serta tiga rumah di Kampung Tanah Lalang, selain 12 rumah di Pekan Sungai Tiang Baroh dan Bagan Sungai Tiang di Bagan Datuk terjejas akibat kejadian air pasang besar.

Beliau berkata fenomena air pasang besar di kawasan berkenaan bermula dari 5.25 pagi hingga 8.30 pagi dengan paras ketinggian 3.5m.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada keperluan pembukaan PPS memandangkan keadaan air pasang dan ombak terkawal, selain air sungai mulai surut.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan