AM

KEMENTERIAN PERPADUAN SOKONG RESOLUSI KONVENSYEN SEJARAH DAN PERPADUAN NASIONAL 2024

20/09/2024 09:40 PM

SHAH ALAM, 20 Sept (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara menyokong resolusi yang dizahirkan pada Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 dalam mencari kaedah terbaik menangani isu dan cabaran perpaduan dalam negara. 

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata syor dan pandangan daripada konvensyen itu akan dibawa kepada Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) untuk rangka tindakan kementerian berkaitan hal ehwal dan isu-isu perpaduan serta usaha penyatuan nasional dari pelbagai sudut. 

"Saya juga berharap akan dapat meneliti, cadangan dan nasihat tentang bidang-bidang kajian yang diperlukan ke arah mengukuh dan meningkatkan perpaduan negara dan integrasi nasional dengan melihat apa yang telah berlaku dalam sejarah tanah air dan apa yang diputuskan bersama oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dan apa yang dicadangkan oleh ahli panel konvensyen," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan konvensyen berkenaan yang bertemakan Menelusuri Sejarah: Membina Perpaduan Negara di sini hari ini.  

Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. 

Terdahulu, Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman membentangkan 10 resolusi konvensyen yang antara lain mengutarakan cadangan untuk mewujudkan Majlis Sejarawan Negara dianggotai sejarawan sebagai badan berwibawa yang unggul, selain pengenalan kod etika wakil rakyat agar pemimpin lebih berintegriti dan bertanggungjawab. 

Resolusi tersebut turut meminta penyediaan peruntukan yang berterusan kepada Arkib Negara bagi usaha membawa pulang bahan sejarah dari luar negara serta pengenalan semula konsep Sekolah Wawasan dalam usaha memperkukuh perpaduan rakyat. 

-- BERNAMA 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan