DUNIA

NIAGA HADAPAN FBM KLCI DIJANGKA MENINGKAT MINGGU DEPAN

21/09/2024 10:59 AM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menokok minggu depan, menjejaki jangkaan trend meningkat di pasaran tunai.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng mengunjurkan FBM KLCI akan berada dalam julat 1,660-1,680.

“Pada minggu depan, kami percaya pelabur akan bersedia untuk membeli ketika melepasi paras, mengukuhkan kedudukan mereka, atau memanfaatkan pegangan untuk memaksimumkan potensi keuntungan," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir, kontrak September 2024 meningkat 26.5 mata kepada 1,674.0 manakala kontrak Oktober, Disember dan Mac 2024 masing-masing naik 26.0 mata kepada 1,676.0, 1,680.0 dan 1,667.0.

Jumlah dagangan susut kepada 21,307 lot daripada 26,397 lot minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka menambah kepada 57,254 kontrak daripada 52,194 kontrak.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan