AM

BANJIR: IBU BERPANTANG DI PPS SELESA, KEMUDAHAN LENGKAP

21/09/2024 04:16 PM

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Seorang ibu Siti Zulaiha Johari yang terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim di sini melahirkan rasa syukur kerana ditempatkan di fasiliti yang selesa serta lengkap dengan kemudahan perubatan.

Ibu berusia 33 tahun itu berkata pada awalnya dia berasa agak gusar apabila diberitahu terpaksa ditempatkan di PPS susulan rumahnya di Kampung Tanjung dekat sini ditenggelami banjir kira-kira setengah meter sejak Khamis lepas.

"Saya berpantang baru 30 hari, tapi syukurlah bila duduk di PPS ini kemudahan semua lengkap. Staf KKM (Kementerian Kesihatan) pun sentiasa pastikan saya berada dalam keadaan baik dan berpesan supaya cepat-cepat maklumkan jika rasa tak selesa atau sakit," katanya.

Siti Zulaiha dan bayinya yang baharu berusia 30 hari, Siti Aisyah Mohamad Kharul Anuar ditemui di PPS Stadium Sultan Abdul Halim di sini yang menjadi antara lokasi tinjauan banjir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Sementara itu, Shuhada Shuib, 37, dari Kampung Alor Merah dekat sini terpaksa bertahan selama lima hari tanpa prosedur dialisis susulan menghadapi kesukaran ke pusat rawatan akibat banjir.

"Saya cuba kawal diri dan Alhamdulillah setakat ni saya masih dalam keadaan baik dan boleh bertahan. Staf KKM pun sentiasa bertanyakan kesihatan saya, mereka sangat ambil berat keadaan saya.

"Lagipun dah jalani dialisis ini lebih dua tahun dah, jadi saya boleh kawal makan minum untuk kurangkan kesan sebab dah banyak hari tak dialisis, mungkin esok saya akan ke pusat untuk rawatan," katanya yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas kaki kanannya diamputasi akibat kencing manis dan menghidap penyakit buah pinggang.

Shuhada berkata selain keadaan dirinya yang memerlukan bantuan anaknya yang berusia 20 tahun untuk bergerak, dia juga perlu menjaga anaknya berusia sembilan tahun yang terlantar akibat penyakit sawan selepas lahir.

"Walaupun Mohamad Afiq Ramadan ini hanya terlantar, tak boleh bercakap, tapi dia faham bila kita cakap dengan dia. Dia seronok duduk PPS sebab ada ramai orang, tak 'mengamuk' pun walaupun duduk dalam khemah," katanya yang cukup teruja apabila disantuni perdana menteri.

Shuhada berkata dia juga bersyukur kerana layak menerima sumbangan kewangan daripada kerajaan kerana terpaksa berpindah ke PPS.

Di Kedah jumlah mangsa banjir yang dipindahkan seramai 7,494 orang setakat 8 pagi tadi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan