AM

MEGAH PORT LABUAN DIKUNJUNGI SYARIKAT INDUSTRI BERAT CHINA, BUKA PELUANG USAHA SAMA PEMBUATAN

21/09/2024 05:17 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 21 Sept (Bernama) -- Kumpulan firma industri berat berpangkalan di China mengadakan lawatan kerja ke pelabuhan kontena Labuan Liberty Wharf di sini hari ini.

Lawatan ini adalah lawatan pertama delegasi perniagaan asing ke pelabuhan itu sekali gus mewujudkan potensi pelaburan dan menambah baik sektor pembuatan baharu di pulau berkenaan.

Delegasi berkenaan terdiri daripada syarikat yang mantap dari Hangzhou antaranya Siemens Energy High Voltage Circuit Breaker Co. Ltd, Laian KLX Industrial Liability Co. Ltd, Chang Zhou KLX Machinery Technology Co. Ltd, InnoVision Capital dan Hangzhou ZhiYi Business Management Co. Ltd.

Lawatan itu diaturkan oleh Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Labuan (PL) Datuk Seri Simon Liew Shan Wen.

Delegasi berkenaan mendengar taklimat daripada syarikat pengendali pelabuhan, Megah Port Management Sdn Bhd (MPM), yang menekankan mengenai kemudahan pelabuhan, keupayaan pengendalian kargo dan rangkaian pelanggan yang luas, terutama di China.

Pengarah Urusan MPM Datuk Seri Patrick Tiong dalam taklimat berkenaan memberi jaminan kepada syarikat mengenai kesediaan pelabuhan itu untuk menyokong usaha niaga di pulau itu pada masa depan. 

“Kami mengalu-alukan delegasi perniagaan dari Hangzhou dan kami bersedia untuk membantu dalam apa sahaja kaedah yang mungkin untuk memastikan pelaksanaan rancangan itu berjaya,” katanya.

Sementara itu, Liew berkata syarikat yang berpangkalan di China itu kini sedang meneroka potensi Labuan sebagai hab pembuatan produk besi dan aluminium, dengan bahan mentah yang diperoleh dari negara berkenaan.

“Beberapa kawasan berpotensi telah dinilai, dan delegasi ini menyuarakan minat masing-masing untuk memajak kemudahan sedia ada di Kompleks Hab Halal Labuan, yang telah dilengkapi dengan gudang.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan Labuan, PL komited untuk menawarkan sokongan menyeluruh dan mempermudah usaha niaga ini.

“Kami bersedia membantu syarikat memandangkan mereka berhasrat untuk menubuhkan kilang dan gudang kerana kami yakin langkah ini akan menghasilkan pekerjaan dan manfaat ekonomi kepada Labuan," kata Liew dalam taklimat sama.

Beliau turut menekankan mengenai kepentingan strategik Labuan memandangkan syarikat berkenaan menyasarkan pasaran tenaga utama seperti Tenaga Nasional Bhd di Malaysia serta firma tenaga di Thailand, Amerika Syarikat dan Mexico.

Liew berkata lawatan ini dijangka menyediakan platform bagi kerjasama jangka panjang, meningkatkan kedudukan Labuan sebagai penggiat utama dalam rantaian bekalan pembuatan serantau dan global.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan