AM

MELAKA ANJUR MINGGU SAINS NEGARA BULAN DEPAN

21/09/2024 07:20 PM

ALOR GAJAH, 21 Sept (Bernama) -- Minggu Sains Negara peringkat Melaka akan diadakan bulan hadapan dalam usaha merakyatkan sains dalam kalangan generasi muda terutama pelajar sekolah.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata penganjuran program itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu.

"Pelbagai aktiviti dan program antaranya karnival sains dan pameran akan dilaksanakan selama dua hari pada akhir Oktober depan dan perbincangan lanjut sedang dimuktamadkan.

"Sasaran peserta program Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Melaka ialah pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) bukan sahaja memberikan pendedahan berkaitan sains di peringkat awal tetapi memupuk minat mereka terhadap bidang berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan sekali beri IPT Parlimen Alor Gajah yang turut dihadiri Naib Ketua Umno Bahagian Alor Gajah Datuk Zahari Abd Khalil di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Machap Jaya, di sini hari ini.

Sementara itu, Fairul Nizam yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Gajah berkata seramai 111 pelajar dari parlimen berkenaan yang berpeluang menyambung pengajian di peringkat IPT menerima bantuan sekali beri daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), melibatkan peruntukan berjumlah RM48,400.

Beliau berkata bantuan itu melibatkan 91 pelajar diploma yang menerima wang tunai RM400 seorang manakala 20 pelajar peringkat ijazah mendapat wang tunai RM600 seorang.

Bantuan tersebut diharap dapat meringankan sedikit beban kewangan pelajar dan ibu bapa sekali gus memberikan suntikan semangat kepada pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Pengagihan bantuan sekali beri oleh TAPEM pada tahun ini secara terus kepada penerima menerusi program turun padang seperti hari ini, berbanding secara dalam talian sebelum ini, merupakan kaedah yang berkesan dalam usaha menyantuni rakyat atau sasaran penerima dan harus diteruskan pada tahun akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan