BERITA TERGEMPAR   PM Anwar ulangi pendirian Malaysia kekal tegas dalam isu Gaza | 
 AM > BERITA

LHDN KENAL PASTI INDIVIDU, SYARIKAT TERLIBAT DALAM DAGANGAN WANG KRIPTO

19/06/2024 12:55 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti beberapa individu dan syarikat yang menjalankan perdagangan mata wang kripto dalam usaha mengurangkan ketirisan hasil cukai dan menambah baik pentadbiran cukai negara.

Ketua Pegawai Eksekutif  LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata pihaknya mendapati kekerapan transaksi dagangan mata wang kripto itu adalah tinggi dan LHDN kini dalam proses semakan data untuk menentukan sama ada berlaku isu percukaian atau tidak.

“Kita tahu bahawa dalam sesuatu keadaan jika jumlah transaksi adalah tinggi dan sebagainya, apa-apa daripada keuntungan kripto ini juga tertakluk kepada cukai.

“Mereka menjalankan aktiviti ini dalam jumlah (merujuk kepada kekerapan transaksi) yang tinggi dan tidak membuat apa-apa pelaporan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penyertaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG) di sini hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan operasi pematuhan khas LHDN, Ops Token telah diadakan untuk mengurangkan ketirisan hasil cukai dalam perdagangan mata wang kripto di mana ia telah diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia (CSM) di 10 lokasi berbeza sekitar Lembah Klang secara serentak. 

Abu Tariq berkata mana-mana individu yang terlibat dengan perdagangan mata wang kripto dalam negara adalah tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia dan mereka yang kurang pasti mengenai sistem percukaian tersebut boleh menghubungi pihak LHDN atau merujuk kepada garis panduan yang telah ditetapkan.

Maklumat berkaitan Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Transaksi Mata Wang Digital boleh dimuat turun menerusi capaian pantas : https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GP_LAYANAN_CUKAI_KE_ATAS_TRANSAKSI_MATA_WANG_DIGITAL.pdf.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata program TCG dapat memberikan pemahaman yang lebih meluas ke atas pengurusan organisasi pembayar cukai dan prosedur tadbir urus percukaian dan kawalan risiko percukaian selain dapat meningkatkan hubungan antara pembayar cukai dan LHDN bagi membolehkan isu percukaian diselesaikan secara konsultasi berbanding konfrontasi.

“Melalui TCG, sesebuah organisasi dapat meningkatkan pemahaman mereka tentang peraturan cukai yang berkaitan dengan aktiviti perniagaan dan mengukuhkan sistem dalaman syarikat bagi memastikan pematuhan cukai secara berterusan,” katanya.

LHDN telah melancarkan TCG pada 1 Mac 2022 sebagai salah satu inisiatif memperkasakan aktiviti pematuhan secara sukarela dengan fokus ke arah kerjasama utuh antara pihak pembayar cukai dengan LHDN sebagai pentadbir cukai negara.

Pelancaran program itu melibatkan dua fasa utama iaitu projek rintis yang bermula pada 1 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2024 dan bakal diikuti dengan pelaksanaan penuh TCG bermula 1 Julai ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan